Siakap Keli
Gambar: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor - BERNAMA

Bantuan RM1 Juta Untuk Penduduk Benar-Benar Terkesan PKPD – MB Kedah

ALOR SETAR, 15 Sept (Bernama) — Peruntukan awal sebanyak RM1 juta yang diumumkan kerajaan negeri Kedah semalam akan digunakan untuk membantu penduduk yang benar-benar terputus bekalan makanan di daerah Kota Setar yang kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan bahawa peruntukan itu bukanlah untuk kesemua 366,787 penduduk di daerah itu tetapi untuk mereka yang benar-benar terjejas seperti peniaga kecil, penjaja tepi jalan atau pekerja yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Jumlah penduduk yang terputus bekalan makanan di daerah Kota Setar tidak tinggi kerana kawasan itu merupakan pusat bandar raya, perniagaan penting seperti makanan masih dibenarkan beroperasi seperti biasa dan kemudahan untuk urusan perbankan seperti mesin ATM juga terdapat di mana-mana.

“Di daerah itu, ramai golongan penduduk bergaji tetap yang bekerja dengan kerajaan atau swasta, jadi mereka tidak termasuk dalam senarai kemungkinan penduduk yang akan terjejas teruk seperti terputus bekalan makanan akibat perintah kawalan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan sesetengah pihak yang mempersoalkan adakah peruntukan itu mencukupi untuk kesemua 366,787 penduduk di daerah itu.

Beliau berkata jumlah RM1 juta itu adalah peruntukan awal dan sekiranya perlu, peruntukan tambahan akan disediakan dan ia adalah daripada dana kerajaan negeri.

“Setakat ini kita belum terima peruntukan daripada kerajaan pusat khusus untuk bantu penduduk Kota Setar yang terjejas akibat COVID-19,” katanya.

Beliau berkata dalam menyalurkan bantuan, beberapa aspek diambil kira termasuk kira-kira 6,000 penerima bantuan tetap bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Kasih Ibu Darul Aman (KIDA).

Muhammad Sanusi mengingatkan semua penduduk agar terus mematuhi prosedur operasi standard bagi mengekang penularan pandemik itu, dan bagi mereka yang terputus bekalan makanan, boleh hubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pejabat Daerah Kota Setar di talian 04-7028070.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.