Siakap Keli
Gambar Via Bernama

“Bangun Pada 3 Pagi Untuk Ke Sekolah,” Guru Ulang-Alik 300 KM Demi Anak Bangsa Di Pedalaman

TUMPAT, 17 Sept (Bernama) — Guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain.

Kedengaran klise, namun pada hakikatnya perumpamaan itu yang paling sesuai dalam menggambarkan jasa dan pengorbanan guru demi kemenjadian anak bangsa.

Begitulah bagi Muhamad Heilmi Zahari. Seawal 3 pagi, ketika insan lain sedang lena diulit mimpi, guru muda itu sudah pun bangun dan bersiap-siap menuju ke Stesen Kereta Api Wakaf Bharu, untuk memulakan tugas sebagai pendidik di kawasan pedalaman negeri Kelantan.

Muhamad Heilmi, 31, yang mengajar Bahasa Inggeris dan Matematik di Sekolah Kebangsaan (SK) Dabong, Kuala Krai yang terletak kira-kira 140 kilometer dari sini, akan menaiki kereta api dari stesen berkenaan pada 4.20 pagi sebelum tiba di Stesen Kereta Api Dabong kira-kira 7 pagi.

Sebaik azan subuh berkumandang, beliau terus mengambil wuduk dan menunaikan tanggungjawabnya walaupun terpaksa bersolat di atas kerusi di dalam gerabak.

Itulah rutin dilaluinya sejak tahun lepas setelah ditukarkan dari SK Dijih, Selangau, Sarawak selepas berkhidmat di sekolah berkenaan dari 2013 hingga 2019.

Biarpun terpaksa berkorban masa, tenaga dan wang ringgit setiap hari, beliau bersyukur kerana dapat mencurahkan ilmu kepada anak bangsa di pedalaman, dan pada masa sama tidak perlu lagi berjauhan dengan keluarga.

“Pada awalnya, rutin berjam-jam sehari ini amat memenatkan kerana terpaksa melalui perjalanan jauh. Namun bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Sekarang saya dapat menyesuaikan diri dengan jadual yang padat ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bapa kepada seorang cahaya mata perempuan berusia empat tahun itu yang tinggal di Kota Bharu berkata selepas tiba di SK Dabong, beliau akan memulakan kelas sebaik loceng berbunyi pada 7.30 pagi.

“Saya akan pulang ke Kota Bharu dengan menaiki kereta api pukul 2.50 petang selepas waktu persekolahan tamat pada 1 tengah hari dan tiba di Stesen Kereta Api Wakaf Bharu pada 6.10 petang,” katanya.

Muhamad Heilmi berkata beliau gembira dapat berkhidmat di SK Dabong selepas enam tahun berjauhan dengan keluarga kerana isterinya bekerja sebagai pegawai di Jabatan Imigresen Malaysia di Kota Bharu.

Walaupun tiba di rumah lewat senja, beliau berkata tanggungjawab sebagai ketua keluarga tetap dilaksanakan dengan membantu isterinya, termasuk menjaga anak sehingga lewat malam.

“Kadang-kadang pukul 12 tengah malam baru saya dapat tidur, dan akan bangun pada 3 pagi untuk ke sekolah.

“Pengurusan waktu amat penting dan saya akan cuba menyiapkan setiap tugasan terutama menyemak buku latihan murid ketika masih di sekolah. Kadang-kadang ada juga dibawa pulang jika tidak dapat disiapkan di sekolah,” katanya.

Muhamad Heilmi berkata pada mulanya beliau pernah memandu kereta ke sekolah, namun kosnya jauh lebih tinggi berbanding berulang-alik menaiki kereta api.

“Tambang kereta api juga amat murah, cuma RM5 sehala dan kos untuk saya berulang-alik dari Wakaf Bharu ke Dabong tidak sampai RM300 sebulan berbanding memandu kereta,” katanya yang tidak mengeluh asalkan dapat menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan pendidik.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story