Siakap Keli
Gambar: Bernama

Kerbau Syukur: Jabatan Veterinar Mula Suntikan Antibiotik Hari Ini

KUALA TERENGGANU, 17 Sept  — Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu telah memulakan suntikan antibiotik kepada baki 58 ekor kerbau milik keluarga Muhammad Syukur Khamis yang masih sihat.

Pengarahnya Dr Mohd Termizi Ghazali berkata suntikan itu bagi mencegah jangkitan sekunder serta meningkatkan daya tahan kerbau untuk melawan penyakit.

“Sekiranya haiwan tersebut sudah dijangkiti penyakit itu, antibiotik hanya melambatkan proses kematian. Selebihnya bergantung pada daya tahan kerbau berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Keluarga remaja yang terkenal dengan gelaran ‘Mowgli Malaysia’ dan ‘Kampung Boy’ itu mendapat simpati rakyat Malaysia apabila 52 daripada 110 kerbau peliharaan mereka mati secara berperingkat sejak 9 Sept lepas dipercayai akibat hawar berdarah.

Muhammad Syukur, 15, mula terkenal apabila gambar-gambar yang menampilkan kemesraannya bersama lebih 100 ekor kerbau tular dan gambar-gambar berkenaan pernah muncul juara pertandingan foto peringkat Asia selain tersenarai antara 20 gambar terbaik dunia.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right