Siakap Keli

Dua Penumpang Treler Maut Selepas Pemandu Hilang Kawalan Di Jalan Keramat Pulai

IPOH, 18 Sept – Dua penumpang treler maut selepas kenderaan berat itu hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan di Km 20 Jalan Keramat Pulai menuju ke Cameron Highlands di sini petang ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata pemandu treler yang membawa muatan tiang besi itu dikenali sebagai Mohd Zuki Abu Bakar, 45, dan mangsa yang maut merupakan isteri dan anaknya.

“Siasatan awal mendapati treler berkenaan hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan sebelum termasuk ke dalam longkang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata maklumat identiti isteri dan anak pemandu treler itu sedang dikenal pasti dan ketika kejadian, mereka dalam perjalanan menuju ke Cameron Highlands dari arah Pulau Pinang.

Beliau berkata pemandu treler itu sedang menerima rawatan di zon kuning HRPB dan dipercayai mengalami kecederaan patah kaki.

Sementara itu, menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 2.44 petang.

“Kami segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai ke lokasi bagi kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa.

Pemandu treler berusia 45 tahun itu cedera ringan manakala penumpang terdiri daripada wanita dewasa dan kanak-kanak lelaki disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata identiti mangsa belum dapat dikenal pasti dan mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 1(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang