Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Empat Lelaki Ke Tali Gantung Kerana Bunuh Kenalan

MELAKA, 18 Sept (Bernama) — Empat lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mereka didapati bersalah membunuh seorang kenalan, tujuh tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril menjatuhkan hukuman itu ke atas M. P. Namasivayam, 30; P. Narendranpathy, 33; P. Sethupathi, 32; dan Aiman Mazlan, 27, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes mereka.

Sejurus mendengar keputusan mahkamah, keempat-empat tertuduh yang berada di dalam kandang tertuduh dilihat menundukkan kepala sambil mengesat air mata.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat lelaki itu didakwa membunuh B. R. Sivan, yang berumur 32 semasa kejadian, di hadapan sebuah rumah di Jalan BJ 2, Taman Bertam Jaya, di sini, pada 10.45 malam, 4 Mei 2013 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sementara itu, mahkamah melepas dan membebaskan dua lagi lelaki yang dituduh bersama-sama empat tertuduh tersebut selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan ke atas  A. Satish, 26 dan G. Vincent Lawrence, 28.

Sepanjang perbicaraan, seramai 36 saksi pendakwaan dan 10 saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Effizah Ernie Idris manakala tertuduh diwakili peguam Paul Krishnaraja, Andrew Lourdes, Raftfizi Zainal Abidin dan Asmawi Ismail.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.