Siakap Keli
Gambar: Google

“Jangan Buang Catalytic Converter…”, 5 Langkah Elak Keracunan Karbon Monoksida Akibat Kebocoran Daripada Sistem Ekzos Kenderaan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Apabila bergerak menuju ke sesuatu lokasi melibatkan perjalanan yang jauh, badan mudah terasa penat dan biasanya baik pemandu mahupun penumpang cenderung mengambil masa untuk berhenti dimana-mana bagi merehatkan badan.

Adakalanya kita boleh terlelap dengan hajat untuk merehatkan badan. Bagaimanapun, sekiranya kita terlelap di dalam kenderaan terutamanya dengan enjin kenderaan masih hidup, kita terdedah kepada risiko keracunan gas monoksida. Macam mana kebocoran gas ini boleh berlaku?

Salah satu punca yang dikenal pasti bagaimana kebocoran gas monoksida berlaku adalah berkaitan dengan catalytic converter. Mari ikuti perkongsian oleh Doktor Kamarul Ariffin Nor Sadan ini.

Gambar: Google

Anda tahu tak apa maksud kebocoran karbon monoksida pada kenderaan? Mana datang gas ini? Ia bocor dari mana ke mana? Bagaimana nak elakkan kebocoran gas ini?

Pembakaran bahan api dalam enjin kenderaan menghasilkan beberapa jenis gas yang berbahaya kepada kesihatan, dan salah satu daripada adalah karbon monoksida.

Lazimnya gas ini akan dikeluarkan dari enjin melalui sistem ekzos yang terdiri daripada beberapa bahagian. Sistem ini juga berfungsi untuk mengurangkan bahaya gas-gas berkenaan.

Gas pembakaran dari silinder enjin akan melalui:

  • Manifold/extractor
  • Exhaust pipe
  • Oxygen sensor
  • Catalytic converter
  • Muffler/silencer
  • Tailpipe
Gambar: Kamarul Ariffin Nor Sadan

Catalytic converter berfungsi untuk mengubah karbon monoksida kepada gas yang lebih selamat iaitu karbon dioksida. Kereta yang dibangunkan selepas tahun 80-an pasti ada komponen ini.

OK! Setelah mengetahui hal ini, dah boleh teka di manakah boleh berlaku kebocoran karbon monoksida? Betul, pada sistem ekzos kenderaan, khususnya pada komponen-komponeen sebelum catalytic converter.

Kebocoran boleh berlaku di sambungan antara enjin, manifold/extractor, exhaust pipe, catalytic converter atau pada komponen itu sendiri, menyebabkan banyak karbon monoksida terbebas.

Catalytic converter ini diwajibkan untuk kenderaan masa kini untuk pastikan asap yang dihasilkan oleh kenderaan lebih selamat dan memberi impak kesihatan yang minima.

Namun, ada pemilik kenderaan membuang catalytic converter dan peredam daripada sistem ekzos kerana ia dapat meningkatkan sedikit prestasi enjin kenderaan mereka. Ini modifikasi bahaya.

Jadi, apakah yang langkah-langkah yang kita boleh lakukan untuk elakkan keracunan karbon monoksida akibat kebocoran gas itu daripada sistem ekzos kenderaan kita?

1- Jika ekzos berbunyi kuat dan kasar, serta ada bau asap yang menyengat hidung, itu merupakan antara tanda kemungkinan ada kebocoran pada ekzos. Bawalah kenderaan untuk diperiksa.

2- Jika keluar notifikasi/amaran logo enjin, periksa sekali sistem ekzos. Logo enjin itu juga akan menyala jika oxygen sensor mengesan ada masalah dengan pembakaran dan gas ekzos.

3- Jangan sesekali buang catalytic converter daripada sistem ekzos kenderaan kita. Ia adalah modifikasi yang membahayakan kesihatan dan alam sekitar, serta menyalahi undang-undang.

4- Tinggalkan amalan memanaskan enjin kenderaan jika kenderaan berada di kawasan yang agak tertutup, seperti di dalam garaj, kolong rumah, bangsal tertutup, dan sebagainya.

5- Tak usah tidur di dalam kenderaan yang enjinnya dibiarkan hidup, tidak kira tingkap kenderaan terbuka atau tertutup, pendingin hawa dihidupkan atau dimatikan. Nak tidur dalam kereta, matikan enjin.

Semoga bermanfaat!

Kamarul Ariffin Nor Sadan
(doktor ke mekanik ni?)

Nota: Saya seorang doktor, tapi suka juga bab automotif. Jadi, ambil peluang ni untuk jelaskan hal ni dari sudut automotif. Sudut perubatan, dah ramai doktor lain yang beri penjelasan.

Sumber: Kamarul Ariffin Nor Sadan

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.