Siakap Keli
Gambar: Uzair Rusli

Kecoh ‘Boatman’ Tangkapkan Penyu Untuk Pelancong Bergambar, Ia Sebenarnya Salah & Boleh Didakwa

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Walaupun penyu boleh dikatakan haiwan yang menjadi tumpuan atau simbolik di negeri Terengganu daripada sudut pelancongan mislanya, namun di sisi lain, haiwan ini tetap berdepan dengan ancaman kepupusan.

Selain faktor habitat yang terancam di sesetengah kawasan perairan, telurnya juga menjadi sasaran sebilangan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menjana keuntungan peribadi.

Selain itu, penyu merupakan antara hidupan marin yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985, Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesis Ikan Yang Terancam) 1999 pindaan 2019 serta Enakmen/Kaedah Perikanan Negeri.

Gambar: Google

Manakala bagi peringkat global pula, semua spesis penyu tersenarai dalam Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008 (Akta 686) dan tersenarai dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semulajadi (Red Lists, International Union for Conservation of Nature – IUCN).

Ini menjadikan ia hidupan yang sangat penting dan kritikal untuk dilindungi, selain merupakan komponen penting dalam mengimbangi kestabilan ekosistem marin.

Terbaharu, berlaku pula isu pelancong di pusat peranginan laut tertentu yang didakwa mahu bergambar dengan penyu dan hasrat itu tercapai apabila boatman yang membawa mereka itu sendiri yang ‘menawarkan’ khidmat tersebut.

Soalnya, adakah ia melanggar undang-undang? Ikuti perkongsian oleh pengamal biologi marin, saudara Uzair Rusli di bawah ini.

Boatman tangkap penyu untuk bergambar

Semalam saya bangkitkan isu ikan Nemo diletak dalam botol, hari ini penyu pula ditangkap untuk memuaskan hati pelancong untuk bergambar.

Dalam keseronokan bercuti dan berkongsi pengalaman kepada semua di media sosial, kita perlu tahu ada batasnya.

Penyu ini haiwan liar dan dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985.

Gambar: Uzair Rusli

Nak masuk taman laut pun ada banyak papan kenyataan informasi perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

Amaran telah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan individu yang terlibat sebelum ini telah dipanggil untuk memberikan keterangan.

Namun perkara sebegini masih berulang di taman laut kita.

Gambar: Uzair Rusli

Adakah perlu kita kuatkuasakan permit/lesen khas kepada boatman yang nak masuk taman laut demi memastikan pengendali faham perkara asas di taman laut?

Sudah tentu ini cara yang paling kurang popular untuk mengawal selia taman laut kita.

Jadi saya nasihatkan kepada semua pengusaha bot dan pelancong, dapatkan maklumat secukupnya jika anda ke taman laut.

Dan sama-sama juga kita saling mengingati.

#KitaJagaPenyuKita
#LiterasiLautanUntukSemua

Sumber: Uzair Rosli, DOF

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.