Siakap Keli
ketiak gatal
Kredit: Google

Ketiak Tiba-Tiba Rasa Gatal & Sakit Walaupun Dah Lama Pakai Deodoran? Mungkin Ini Sebabnya

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Pernah tak anda berhadapan situasi di mana ketiak anda menjadi sakit dan gatal selepas menggunakan deodoran?

Sebenarnya, ia merupakan penanda ada bahan yang tidak sesuai dengan anda dalam produk berkenaan.

Menurut Hello Doktor, situasi itu berlaku apabila berlakunya alahan dermatitis sentuh, membuatkan anda berasa tidak selesa.

Untuk mengetahui apakah bahan-bahan yang mungkin menjadi punca alergi tersebut, jom baca perkongsian oleh Hello Doktor di bawah.

Jaga-jaga terhadap bahan kimia di dalam deodoran

Deodoran merupakan salah satu bahan kosmetik yang kita semua pakai setiap hari.

Tanpanya, kita mungkin akan rasa kurang selesa, tidak yakin dan was-was dengan bau badan sendiri.

Selalunya, sebotol deodoran mengandungi gabungan deodoran dan juga bahan antipeluh (antiperspirant).

Sama seperti sabun mandi, shampoo dan juga bahan-bahan kosmetik lain, deodoran dan antipeluh juga mengandungi banyak bahan kimia yang mungkin asing bagi kita.

Kadang-kadang, bahan kimia ini boleh sebabkan kegatalan pada kawasan ketiak anda.

Cuba periksa sama ada anda mempunyai alergi ataupun tidak dengan bahan yang terkandung dalam deodoran anda.

Jika anda alami simptom ini, mungkin ada bahan kimia di dalam deodoran atau antipeluh anda yang mencetuskannya.

Alahan yang disebabkan oleh bahan kimia yang bersentuhan dengan kulit anda dinamakan alahan dermatitis sentuh (contact dermatitis).

Penyakit ini tidak berjangkit ataupun mengancam nyawa, tetapi akan menyebabkan penghidapnya rasa tidak selesa.

Jika anda rasa diri anda mengalami alergi, cuba periksa kulit di bahagian ketiak anda. Reaksi alergik yang biasa terhadap deodoran ialah:

  • Kulit jadi kemerahan
  • Rasa sakit dan pedih
  • Kulit jadi berkuping dan naik ruam
  • Rasa gatal-gatal yang amat sangat
  • Timbul ketulan pada permukaan ketiak
  • Kadang-kadang, alergi terhadap deodoran dan antipeluh tidak akan berlaku serta-merta. Anda mungkin mendapat simptom setelah berbulan-bulan menggunakan deodoran yang sama.

Selain itu, disebabkan produk yang dijual di pasar raya selalu melalui proses pengubahsuaian dan penambahbaikan, mungkin alergen tersebut baru ditambah ke dalam formulasi.

Sebab itulah produk yang anda sudah pakai lama tiba-tiba sahaja buatkan anda rasa gatal-gatal!

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Bahan apa yang sebabkan ketiak sakit dan gatal?

Cuba anda baca informasi pada bahagian belakang deodoran anda. Ada banyak bahan kimia dalam senarai yang anda sendiri tidak pasti bukan?

Tetapi, ada beberapa bahan yang anda patut kenal dan berjaga-jaga jika anda mempunyai alahan terhadap deodoran.

3 bahan yang selalunya membuatkan kulit anda merengsa ialah pewangi, aluminium, dan juga bahan pengawet seperti paraben.

1. Pewangi (parfum)

Pewangi merupakan bahan yang selalu menjadi punca alergi.

Sebuah kajian yang dijalankan dalam kalangan pesakit ekzema, 1 daripada 4 orang yang mempunyai alergi kepada pewangi mendapat tindak balas alergi ketika memakai deodoran.

Namun, keradangan mereka beransur pulih setelah bertukar menggunakan deodoran dan antipeluh yang tidak mempunyai sebarang kandungan pewangi.

2. Aluminium

Aluminium ataupun garam aluminium merupakan bahan yang digunakan secara meluas dalam produk kosmetik.

Dalam deodoran, bahan inilah yang menyekat anda daripada berpeluh!

Ada individu yang melaporkan mengalami dermatitis sentuh selepas memakai produk yang mengandungi garam aluminium, namun bilangannya amatlah sedikit.

Bahan ini boleh membuatkan ketiak anda bengkak dan sakit.

3. Paraben

Paraben pula ialah bahan yang digunakan di dalam kosmetik untuk mengelak pertumbuhan kuman, fungi dan yis di dalam deodoran.

Walau bagaimanapun, banyak produk yang telah mengeluarkan paraben daripada formulasi mereka kerana kebimbangan pengguna mengenai paraben yang mungkin boleh mengakibatkan kanser.

Tetapi, American Cancer Society menafikan bahawa paraben boleh mengakibatkan kanser. Malah, masih tidak ada bukti yang konkrit sehingga ke hari ini yang dapat mengaitkan paraben dengan risiko kanser.

Apa yang anda perlu lakukan jika ketiak gatal selepas memakai deodoran?

Pertama sekali, basuh ketiak anda dengan air yang mengalir. Rasa ketiak gatal dan sakit patut beransur-ansur pulih.

Cuba hilangkan sebanyak mungkin sisa deodoran yang ada. Kalau boleh, gunakan sabun yang mempunyai pH yang neutral.

Sapukan krim yang boleh membuatkan ketiak anda rasa sejuk dan lega.

Anda juga boleh mengambil ais atau apa-apa bahan yang sejuk dan tekapkan pada ketiak anda untuk kurangkan rasa pedih dan gatal-gatal.

Kesimpulan

Deodoran dan antipeluh merupakan bahan kosmetik yang wajib dipakai setiap hari.

Walau bagaimanapun, masih ada risiko untuk anda mengalami gatal-gatal setelah memakai deodoran, lebih-lebih lagi setelah anda bertukar menggunakan produk baru.

Selalunya, rasa ketiak bengkak dan sakit ini akan berlalu sejurus sahaja anda bertukar kepada produk lain.

Namun, jika simptom gatal-gatal itu berkekalan, sila berjumpa doktor anda untuk rawatan lanjut.

Doktor anda boleh melakukan patch test untuk mengenal pasti apa yang menyebabkan anda mengalami tindak balas alergi.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.