Gambar Hiasan Via Google

Lelaki Di Singapura Dilapor Dipenjara Setelah ‘Order’ Makanan Lebih RM2 Ribu Tanpa Membayarnya

Tindakan seorang lelaki berusia 27 tahun di Singapura yang memesan makanan bernilai lebih daripada RM 2,000 daripada aplikasi penghantaran makanan tanpa membayarnya undang padah selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atasnya, lapor CNA.

Untuk empat tuduhan menipu, dengan sembilan tuduhan tambahan yang masih dipertimbangkan, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh hari kepada lelaki tersebut pada hari Khamis (17 September).

Menurt CNA, lelaki tersebut tinggal di sebuah flat di Choa Chu Kang, dan melakukan penipuan itu dengan memesannya untuk dihantar ke rumah jirannya yang tinggal di tingkat bawah serta atas rumahnya.

Mahkamah difahamkan bahawa lelaki berkenaan telah membuat beberapa pesanan makanan di aplikasi mudah alih GrabFood dan Foodpanda di antara 25 Februari dan 14 Mac, tanpa niat untuk membayarnya.

Dia memilih pilihan pembayaran ‘cash on delivery’ semasa memesan dan sebelum makanan tiba sambil menghantar pesanan kepada penghantar makanan supaya meninggalkan makanan tersebut di luar pintu sahaja. Dia juga dilaporkan memberitahu mereka bahawa dia akan membuat pembayaran melalui PayLah! atau PayNow.

Apabila dia melihat bahawa makanan telah tiba, dia akan pergi ke rumah jirannya dan mengambil makanan yang ditinggalkan di luar rumah jirannya itu. Namun, dia didakwa tidak langsung membuat pembayaran untuk pesanan yang dibuatnya.

Untuk memastikan taktik liciknya itu sukar untuk dihidu, lelaki tersebut telah membuat banyak akaun di aplikasi penghantaran makanan tersebut dengan nama yang direka dan nombor telefon palsu supaya penghantar makanan tidak dapat menghubunginya.

Dalam salah satu kejadian pada 8 Mac, lelaki tersebut telah memesan makanan dari sebuah restoran di Jalan Gangsa melalui aplikasi Foodpanda, dengan menggunakan nama palsu.

Dia seterusnya memilih ‘cash on delivery’ sebagai cara pembayaran untuk pesanan bernilai RM 278.49, yang dia aturkan untuk dihantar ke rumah jirannya di tingkat 13.

Kemudiannya dia menghantar pesanan kepada penghantar makanan itu: “Tinggalkan makanan di atas rak kasut…ambil anak dari hospital. Bagi saya nombor PayNow anda nanti sesudah saya bayar saya whatsapp anda.”

Penghantar makanan itu pun meletakkan makanan tersebut di rak kasut di luar rumah jiran lelaki tersebut, menghantar gambar pesanan berkenaan ke nombor yang diberikan dan beredar.

Lelaki tersebut kemudiannya pergi mengambil makanan itu, tetapi penghantar makanan berkenaan dapat merasakan seakan ada yang tidak kena ketika gambar yang dihantarnya itu tidak dijawab.

Penghantar makanan itu terus mengetuk pintu rumah berkenaan, tetapi jiran lelaki tersebut memberitahunya bahawa dia tidak membuat sebarang pesanan langsung, sambil menambah bahawa pernah terjadi kejadian yang serupa.

Penghantar makanan itu melaporkan kes tersebut kepada Foodpanda. Jiran itu juga turut telah membuat laporan polis lebih awal iaitu pada 25 Februari, mengenai dua pesanan penghantaran pizza yang telah dikirim ke rumahnya.

Jumlah kerugian yang ditanggung oleh GrabFood dan Foodpanda mencapai RM 2184.81. Lelaki tersebut dilaporkan telah membayar balik jumlah kerugian itu kepada syarikat tersebut sepenuhnya.

Hakim membenarkan lelaki itu menjalani hukumannya pada 1 Oktober.

Untuk setiap tuduhan menipu, dia boleh berhadapan dengan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya.

Sumber: CNA

Aqmal Ezany

I write what is right

Editor: syafiq halim

Tambah komen

Dari Wiser.my