ARAU, 18 Sept — Penduduk Kampung Titi Besi dekat sini sering gusar setiap kali hujan lebat melanda kampung mereka kerana banjir kilat pasti akan berlaku.
Keadaan itu meresahkan mereka sejak 30 tahun lagi dan berharap pihak berwajib dapat bertindak segera bagi menangani masalah yang sering melanda hingga menyebabkan kerugian yang besar akibat rumah dinaiki air dan barang-barang yang rosak.
Seorang suri rumah, Siti Hajar Ahmad, 52, berkata apabila hujan turun dia mula rasa gelisah dan segera mengangkat barang ke tempat lebih tinggi bagi menyelamatkan harta benda daripada ditenggelami air.
“Rumah akan dinaiki air hingga paras lutut jika hujan melebihi dua jam, cerita (keadaan) ini bukan sehari dua (berlaku) tetapi sudah 30 tahun, setiap kali hujan orang lain tarik selimut tetapi kami sibuk angkat barang.
“Tahun ini saja sudah dua kali mak cik berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), mak cik letih setiap kali hujan kena berpindah dan perabot rosak disebabkan air masuk ke dalam rumah,” katanya kepada Bernama di sini.
Seorang warga emas yang ingin dikenali sebagai Asmah, 62, pula berkata dia berharap pihak kerajaan dan Jabatan Pengairan dan Saliran dapat melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah ini daripada terus berlaku walaupun penduduk telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berwajib.
Kampung Titi Besi adalah antara kawasan yang kerap dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat, baru-baru ini Bernama melaporkan 30 mangsa banjir daripada enam keluarga dari kampung tersebut dipindahkan ke PPS Dewan Sivik, Arau.
Sumber: BERNAMA