Gambar: Google

Portal JobsMalaysia & MyFutureJobs Bakal Disatukan, Mudahkan Pencarian Kerja

KUALA LUMPUR, 18 Sept  (Bernama) — Portal penjodohan pekerjaan secara dalam talian JobsMalaysia dan MyfutureJobs akan disatukan bagi memudahkan orang ramai memohon pekerjaan, menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata langkah itu adalah selari dengan pendekatan sistem ‘single-window’ bagi menghubungkan majikan dan pencari pekerjaan, serta kementerian dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Apabila (individu atau majikan) memohon dengan Perkeso atau berdaftar dengan Perkeso, contohnya Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Incentive), Program Subsidi Upah, Program Pengekalan Pekerjaan (ERP), secara automatik ia akan ‘synchronise’ (selaras) dengan MyfutureJobs.

“Maka tak perlu mohon bantuan dan pekerjaan secara berasingan… sekali gus ini membantu golongan penganggur mencari pekerjaan dengan lebih mudah,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Jendela Fikir terbitan Bernama Radio di sini, hari ini.

Beliau turut menggesa individu yang masih menganggur untuk mendaftar di portal MyFutureJobs (www.myfuturejobs.gov.my), menyertai Karnival PenjanaKerjaya KSM, serta pencari kerja yang memerlukan bantuan agar hadir ke pejabat Tenaga Kerja atau Perkeso di seluruh negara.

Sumber: BERNAMA

Denin

Menulis untuk mendidik.

Editor: Fazidi

Tambah komen

Dari Wiser.my