Siakap Keli

Rakyat Minta Kerajaan Pusat Teruskan PENJANA, PRIHATIN

KUALA LUMPUR, 18 Sept — Dalam menghadapi kesempitan hidup susulan kesan pandemik COVID-19, rata-rata rakyat meminta kerajaan meneruskan program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Mereka, terutamanya yang berpendapatan rendah dan peniaga kecil-kecilan, juga mahukan kerajaan menimbang untuk menambah peruntukan bagi program-program tersebut bagi membolehkan mereka ‘meneruskan’ kehidupan.

Semua ini kerana kesan pandemik COVID-19 yang menular di negara ini sejak Mac lepas masih dirasai walaupun enam bulan telah berlalu, selain pemulihan ekonomi negara masih pada peringkat awal.

Pekerja swasta dari Selangor Abu Haniffah Abdul Halim berkata program, terutamanya berkaitan subsidi upah yang dijadualkan berakhir bulan ini, perlu diteruskan.

“Lebih rasa selamat untuk bekerja bila ada subsidi upah ini kerana gaji akan terus dibayar oleh pihak majikan dan saya boleh terus bekerja untuk menyara keluarga,” katanya.

“Walaupun mungkin kerja dengan gaji yang tidak berapa tinggi, sekurang-kurangnya masih bekerja sebelum mendapat kerja tetap,” kata  Abu Haniffah.

Helson Tidin, 30, dari Kampung Tambuluran, Kudat, Sabah meminta kerajaan pusat mendengar rintihan mereka yang terkesan.

Katanya bantuan one-off RM1,600 yang diterimanya digunakan untuk membeli keperluan harian setelah diberhentikan kerja sebagai buruh dan kini terpaksa bekerja sendiri.

Kalau boleh bantuan seumpana itu diberikan lagi, katanya.

PENJANA dan PRIHATIN bernilai RM295 bilion antara lain bertujuan membantu rakyat dan memacu ekonomi negara selepas mengalami pengucupan susulan kesan pandemik itu.

Seorang pekedai yang menjual pakaian sukan dan barangan kosmetik di Ipoh, Faris Harun juga meminta kerajaan meneruskan bantuan subsidi upah kerana insentif itu banyak membantu majikan dalam membayar gaji pekerja.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang