Sekurang-kurangnya 3,245 penduduk di barat laut China disahkan positif jangkitan bakteria yang menyebabkan brucellosis, lapor CNN, memetik kenyataan Suruhanjaya Kesihatan Lanzhou.
Jangkitan tersebut didakwa berpunca daripada sebuah kilang milik syarikat biofarmaseutikal tempatan sekitar Julai hingga Ogos hujung tahun lalu.
Penyakit brucellosis sering dikaitkan dengan haiwan ternakan yang menjadi pembawa bakteria tersebut termasuk anjing, lembu, biri-biri, kambing dan khinzir.
Sementara itu, seramai 1,401 individu lain disyaki positif daripada 21,847 penduduk yang diuji di bandar berpopulasi 2.9 juta orang berkenaan.
Penyakit yang turut dikenali sebagai demam Malta atau demam Mediterranean itu dikatakan boleh menyebabkan simptom sakit kepala, sakit otot, demam dan kelesuan.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), simptom mungkin boleh menjadi berterusan antaranya arthritis atau bengkak pada organ tertentu termasuk hati, jantung (endocarditis) dan testikel.
Selain itu, jangkitan manusia ke manusia amat jarang berlaku. Kebanyakan pesakit dilaporkan mendapat jangkitan melalui makanan yang tercemar atau terhidu udara yang mengandungi bakteria (seperti kes di Lanzhou).
Jangkitan juga boleh berlaku melalui produk haiwan seperti susu yang tidak dipasteur dan daging yang tidak dimasak sempurna.

Penularan awal daripada kilang vaksin
Penularan awal dipercayai berpunca daripada kilang yang menghasilkan vaksin Brucella untuk kegunaan haiwan. Kilang tersebut dikatakan telah menggunakan produk sanitasi yang telah tamat tempoh, membuatkan tidak semua bakteria berjaya dibasmi dalam sisa gas.
Akibatnya, gas yang tercemar dengan bakteria kemudiannya menghasilkan aerosol yang mencemari udara dan tersebar ke Institut Penyelidikan Veterinar Lanzhou, lokasi di mana penularan berlaku buat pertama kali.
Berdasarkan laporan, jangkitan awal mula dikesan pada November dan angka meningkat pantas. Pada hujung Disember, dikatakan seramai sekurang-kurangnya 181 individu di institut itu telah dijangkiti brucellosis, tulis CNN memetik laporan Xinhua.
Antara pesakit lain yang dikenalpasti terdiri daripada para pelajar dan kakitangan fakulti Universiti Lanzhou. Malah, sebanyak 13 kes positif dilaporkan berjaya dikesan jauh dari fasiliti tersebut, iaitu di sebuah institut veterinar di Heilongjiang, wilayah di timur laut China.

Masalah kesihatan dan organ pembiakan
Berdasarkan kajian diterbitkan Jurnal Antarabangsa Sains Kesihatan dan Reproduksi Wanita, brucellosis dipercayai boleh mengganggu sistem pembiakan wanita, menyebabkan masalah kesuburan dan komplikasi kepada ibu hamil.
“Brucellosis merupakan satu faktor risiko bagi kesihatan umum dan pembiakan wanita termasuk menyebabkan komplikasi obstetrik ketika kehamilan, lazimnya keguguran spontan.
“Untuk mencegah penyakit dan komplikasi ini, sangat digalakkan untuk mendidik wanita, terutama golongan miskin yang hamil dengan tahap pendidikan yang rendah.
“Wanita yang dijangkiti perlu segera diberi rawatan terapi antimikroba yang sesuai,” tulis kajian berkenaan.
Sumber: CNN, News.com.au, Straits Times, CDC