Siakap Keli
Gambar: Bernama

Jangkitan COVID-19 Di Indonesia Semakin Membimbangkan, Kes Baharu Lebih 4,000

JAKARTA, 19 Sept — Indonesia mencatatkan 4,168 kes positif baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, jumlah harian tertinggi sejak virus pandemik itu dikesan di republik berkenaan pada 2 Mac lepas.

Berdasarkan data yang disiarkan dalam laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, jumlah kes positif keseluruhan kini meningkat kepada 240,687 kes, manakala sebanyak 107,863 lagi pesakit masih dalam pemantauan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam hingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 112 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kumulatif kini 9,448 orang.

Provinsi Jakarta, yang kembali menguatkuasakan peraturan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) selama dua minggu bermula Isnin lepas, masih mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 60,828 kes, dengan tambahan 988 kes baharu.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 2,942 orang, diikuti Jakarta (1,527), Jawa Tengah (1,243), Kalimantan Selatan (396), Sumatera Utara (394), Sulawesi Selatan (389) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right