Gambar Hiasan via Healthline

Majlis Perkahwinan Jadi ‘Super Spreader’, 7 Orang Dilaporkan Maut Dan 177 Orang Yang Lain Dijangkiti COVID-19

Sekurang-kurangnya tujuh maut manakala 177 yang lain disahkan dijangkiti virus Covid-19 selepas hadir satu majlis perkahwinan yang diadakan di Millinocket, Maine, Amerika Syarikat, lapor CNA.

Majlis perkahwinan yang diadakan pada awal bulan Ogos lalu telah dihadiri oleh 65 orang tetamu yang secara tidak langsungnya telah melanggar had rasmi yang ditetapkan kerajaan iaitu 50 orang.

Menurut CNA, majlis tersebut telah berlangsung di sebuah gereja dan kemudiannya diikuti dengan majlis resepsi di Big Moose Inn.

Sepuluh hari kemudian, berpuluh-puluh orang yang hadir majlis perkahwinan tersebut telah disahkan positif Covid-19. Susulan daripada itu Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Maine segera membuka siasatan berkenaan perkara itu.

Pengarah CDC Maine, Nirav Shah pada hari Khamis (18 September) telah mengeluarkan perincian berkenaan kes tersebut sambil menambah bahawa tujuh orang yang meninggal dunia itu tidak menghadiri majlis perkahwinan berkenaan.

Siasatan awal mendapati bahawa seorang warden penjara yang bertugas di sebuah penjara yang mempunyai lebih 80 kes positif Covid-19 terletak 370km daripada lokasi majlis perkahwinan itu telah dijangkiti sebelum dia hadir ke majlis terbabit.

10 kes lain pula ditemui di sebuah gereja Baptis di kawasan yang sama, sementara 39 jangkitan – dan enam kematian – didapati di sebuah rumah jagaan 161km dari Millinocket.

Gambar: CNA

Bagi penduduk setempat yang telah menerapkan peraturan penjarakan sosial seperti yang diperkenalkan pada awal krisis, berita itu telah mengejutkan mereka.

“Ketika kami mendengar wabak tersebut tercetus … semua orang benar-benar berasa sedih,” kata Cody McEwen, ketua dewan bandar.

“Sebaik sahaja wabak itu tercetus, kami terus menutup bandar ini kembali sepenuhnya.”

Sesetengah penduduk jelas berasa berang dengan penganjur majlis berkenaan.

“Saya rasa mereka tidak seharusnya mengadakan majlis perkahwinan. Saya rasa ia seharusnya dihadkan seperti yang sepatutnya,” kata Nina Obrikis, seorang ahli gereja Baptis di mana majlis itu diadakan.

“Kami tidak dapat pergi ke mana-mana atau melakukan apa-apa kini,” katanya.

Gabenor Maine, Janet Mills pada hari Khamis telah mengeluarkan amaran kepada 1.3 juta penduduk negeri itu.

“COVID-19 bukan berada di sebelah pagar sana, tetapi ianya sedang berada di kawasan halaman kita kini.”

Sejak tercetusnya wabak pada awal tahun ini, kejadian superspreader yang serupa telah dilaporkan di seluruh dunia.

Yang pertama berlaku di Amerika Syarikat adalah pada persidangan bioteknologi di Boston pada bulan Februari yang dihadiri sekitar 175 orang, dan satu majlis pengebumian di Georgia di mana lebih daripada 100 dijangkiti dengan virus tersebut.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kluster jangkitan seperti itu dapat dilihat tercetus du kampus universiti sehingga memaksa pelajar mengosongkan kawasan universiti.

Universiti Oneonta, di utara New York, mempunyai lebih daripada 670 kes Covid yang disahkan dalam satu bulan.

Kementerian Kesihatan Malaysia juga turut berkongsikan tentang perkara ini.

“Hasil siasatan pihak berkuasa mendapati, tujuh mangsa yang meninggal dunia tidak menghadiri majlis perkahwinan ini”

Sumber: CNA

Aqmal Ezany

I write what is right

Editor: syafiq halim

Tambah komen

Dari Wiser.my