Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Nelayan Dikhuatiri Lemas Selepas Bot Dinaiki Dirempuh Bot Lain

ALOR SETAR, 19 Sept — Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas bot gentian kaca yang dinaiki bersama abangnya dirempuh oleh sebuah bot lain di kawasan muara Tanjung Dawai dekat Sungai Petani, kira-kira 10 malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata sebelum kejadian, mangsa Zulkifli Mohamad, 52, telah ke laut bersama abangnya, Jaafar Mohamad, 57 tahun yang juga seorang nelayan.

“Selepas menerima maklumat, Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat (MRSC) Langkawi telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diaktifkan pada pukul 10.45 malam.

“Bot yang dinaiki mangsa dipercayai telah dirempuh di bahagian belakang oleh sebuah bot lain yang dipandu laju sebelum pemandu bot berkenaan melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata akibat pelanggaran itu, mangsa yang memakai baju kelabu telah terjatuh ke dalam sungai dan usaha mencari mangsa sedang giat dijalankan oleh beberapa agensi termasuk dengan bantuan nelayan tempatan.

“Sektor pencarian pada hari ini meliputi kawasan seluas 12.54 batu nautika persegi,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya diminta membantu operasi SAR itu pagi tadi.

“Anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Sungai Petani masih menjalankan kerja-kerja mencari mangsa dengan menggunakan teknik pencarian di atas permukaan air,” katanya.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story