Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Wanita Dakwa Kerugian Akibat Ambil Anak Angkat Tak Wujud

KUANTAN, 19 Sept (Bernama) — Seorang wanita membuat laporan polis mendakwa kerugian RM2,750 selepas terpedaya dalam urusan pengambilan anak angkat yang tidak wujud, bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita berumur 41 tahun dari Benta, Lipis kira-kira 246 kilometer dari sini mendakwa berurusan dengan seorang suspek wanita menerusi telefon pada 4 Ogos bagi tujuan itu.

Beliau berkata selang beberapa hari kemudian, suspek dikatakan telah menghantar tiga gambar bayi menerusi WhatsApp dan wanita itu mendakwa dia telah memilih seorang bayi perempuan dengan ‘harga’ yang diberikan RM4,000.

“Suspek seterusnya mengarahkan mangsa untuk membuat bayaran pendahuluan berjumlah RM1,500, namun mangsa semasa itu hanya berupaya membuat transaksi pemindahan wang sebanyak RM1,200 ke akaun suspek,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya suspek kemudiannya masih meminta wang lagi dengan pelbagai alasan, dan selepas beberapa pembayaran namun bayi masih belum diterima, wanita itu membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Lipis, di Lipis, semalan.

Mohd Wazir berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan tipu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story