Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Mayat Nelayan Hilang Di Muara Tanjung Dawai Ditemukan Pagi Ini

ALOR SETAR, 20 Sept (Bernama) — Mayat seorang nelayan yang dilaporkan hilang setelah bot gentian kaca yang dinaiki bersama abangnya dirempuh sebuah bot lain di muara Tanjung Dawai, dekat Sungai Petani, malam Jumaat lepas, ditemukan pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Ahmad Faizal Ahmad berkata, mayat Zulkifli Mohamad, 52, dijumpai pada 8.10 pagi tadi oleh nelayan tempatan yang melakukan pencarian kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sejak dua hari lepas membabitkan lima bot dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Operasi membabitkan seramai 32 anggota dan pegawai serta lebih 60 orang nelayan tempatan yang turut membantu dalam pencarian. Dengan penemuan itu, operasi SAR dihentikan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.,” katanya di sini.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam Jumaat lalu, bot dinaiki Zulkifli bersama abangnya, Jaafar Mohamad, 57, dirempuh sebuah bot lain ketika dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan, menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam laut.

Sementara itu, Ahmad Faizal mengingatkan komuniti maritim agar berwaspada dengan keadaan cuaca dan keperluan memiliki alat Personal Locator Beacon (PLB) sebagai kelengkapan tambahan bagi memudahkan operasi SAR, jika berlaku sebarang insiden di laut.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579, jika berlaku kecemasan.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story