Siakap Keli
Gambar: Bernama

OKU Lumpuh Bukti Kemampuan ‘Tawan’ Bukit Taisho

JEMPOL, 20 Sept (Bernama) — Meskipun mengalami lumpuh daripada paras dada ke bawah, namun seorang guru, Mohd Yusof Abdul Hamid membuktikan kecacatan tidak menghalangnya memandu kenderaan  pacuan empat roda untuk mendaki Bukit Taisho, Bahau, di sini.

Mohd Yusof, 37, tidak pernah sekali pun melihat kekurangan dirinya sebagai penghalang untuk  menggapai  impian menempuh laluan mencabar ke bukit yang berketinggian kira-kira 700 meter dengan jarak 2 kilometer untuk ke puncak.

Guru agama Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam, Bandar Seri Jempol itu berkata walaupun terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2011 sehingga menyebabkannya lumpuh, beliau tekad menjadikan kekurangan diri sebagai pembakar semangat dan dorongan untuk menjalani kehidupan seperti orang biasa.

“Sebelum lumpuh, saya sudah biasa memandu kenderaan pacuan empat roda, saya bersyukur masih  mampu memandunya dan melakukan aktiviti lasak sehingga berjaya menawan puncak Bukit Taisho.

Memandu kenderaan pacuan empat roda untuk ke puncak Bukit Taisho bukanlah mudah kerana ia memerlukan kekuatan fizikal bagi menghadapi kesukaran laluan jalan yang curam untuk sampai ke destinasi,” katanya kepada Bernama selepas menyertai ekspedisi pendakian itu, semalam.

Ekspedisi menaiki pacuan empat roda ke Bukit Taisho itu julung kali dianjurkan Raja Bersiong Adventure Team dengan kerjasama Kelab Kembara Bukit Taisho dan disertai 16 orang kurang upaya (OKU) lumpuh daripada Persatuan OKU Fizikal Negeri Sembilan serta Persatuan Insan Istimewa Daerah Jempol.

Penulis turut mengikuti program itu dan berpeluang menaiki kenderaan Kia Sportage dipandu Mohd Yusof yang cekap mengendalikan kenderaannya ketika melalui laluan berbukit, berbatu dan curam dengan hanya mengambil masa kira-kira 45 minit untuk ke puncak.

Kenderaan dipandunya diubah suai pada pedal minyak dan brek dan boleh dioperasi dengan tangan sementara transmisinya adalah automatik.

Mohd Yusof berkata sebanyak 10 kenderaan pacuan empat roda membawa peserta OKU dengan setiap seorang mempunyai pengiring.

Mengakui sedikit gementar berikutan kali pertama melakukannya, namun dengan semangat yang kental, Mohd Yusof bersama pasukannya berjaya menawan bukit berkenaan bahkan berhasrat meredah hutan sekitar Negeri Sembilan bersama rakan OKU yang lain selepas ini.

Sementara itu, pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang juga Pengerusi Persatuan Insan Istimewa Daerah Jempol Mohd Fauzi Abdullah, 57, melahirkan rasa teruja kerana ia merupakan pengalaman pertamanya menawan puncak Bukit Taisho sejak lumpuh pada 2015.

“Saya minat aktiviti lasak, masuk hutan dan mendaki gunung namun setelah saya lumpuh daripada paras pinggang ke bawah akibat kemalangan motosikal, saya tidak dapat lagi melakukan aktiviti sedemikian.

Apabila diberi peluang untuk pergi ke puncak Bukit Taisho ia satu pengalaman berharga kerana saya dapat  melihat sendiri keindahan pemandangan dari atas puncak bukit. Berkerusi roda bukan penghalang malah kita perlu bangkit daripada ujian ini dengan mencuba sesuatu pengalaman baharu,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right