Gambar: Bernama

Operasi HKL Berjalan Seperti Biasa, Tidak Terjejas Akibat Kebakaran Malam Tadi

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) — Operasi Hospital Kuala Lumpur (HKL) tidak terjejas dan berjalan seperti biasa hari ini berikutan kebakaran di stor menyimpan fail di tingkat empat hospital berkenaan malam tadi, kata Pengarah HKL Datuk Dr Heric Corray.

Beliau dalam satu kenyataan berkata cawangan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang telah menjalankan siasatan mendapati api telah dipadamkan sepenuhnya dan pesakit serta petugas selamat untuk kembali ke wad masing-masing pada pukul 12.48 tengah malam  tadi.

“Sebaik sahaja diisytiharkan selamat, pesakit dipindah semula ke wad masing-masing yang selesai kira-kira jam 2 pagi. Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak JBPM dan pihak HKL akan dimaklumkan punca kejadian selepas siasatan selesai,” katanya hari ini.

Dr Corray berkata dalam kejadian pukul 11 malam tadi, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku.

Beliau berkata kejadian disedari apabila bilik kawalan dan pusat panggilan hospital dimaklumkan mengenai bunyi daripada penggera kebakaran yang dikesan daripada alat pengesan asap dan pihak bomba juga turut dihubungi pada pukul 11.07 malam.

Menurutnya, api berjaya dipadamkan oleh petugas hospital dengan menggunakan alat pemadam api dan hos air kira-kira 11.20 malam sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi kejadian.

Namun sebelum itu katanya beberapa wad telah dikosongkan dan pesakit dikeluarkan untuk tujuan keselamatan.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Editor: Aqmal Ezany

Tambah komen

Dari Wiser.my