Gambar: Bernama

Pahlawan Iban Tracker, Awang Raweng Meninggal Dunia

KUCHING, 19 Sept — Pahlawan hebat negara dan bekas anggota Iban Tracker sewaktu era kolonial British, Datuk Awang Raweng, 104, meninggal dunia di kediaman anaknya di Taman Padri, Sri Aman, kira-kira 200km dari sini pada pukul 2.15 petang semalam.

Berita itu disahkan anaknya, Panggau Awang yang memberitahu bahawa mayat mendiang kini berada di rumahnya sebelum dibawa ke Dewan Suarah Kuching esok untuk upacara penghormatan akhir peringkat negeri.

“Isnin ini mayat akan dibawa ke Gereja St Thomas Kuching sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan (Heroes Memorial) Taman Budaya, Kuching,” katanya ketika dihubungi.

Mendiang merupakan salah seorang daripada anggota Iban Tracker yang tiba di Tanah Melayu sekitar Disember 1950 sebelum diserap masuk ke dalam Rejimen Hutan Wordcestershire and Sherwood.

Atas jasa baktinya, mendiang dianugerahkan pingat George Cross, yang dinamakan sempena nama King George VI, daripada Ratu England pada November 1951 sebagai pengiktirafan usahanya menentang kira-kira 50 komunis di hutan Kluang, Johor secara bersendirian untuk menyelamatkan tentera British yang cedera.

Awang dilaporkan telah 20 kali terbang ke London bagi menghadiri majlis perjumpaan semula Batalion Pertama Rejimen Hutan Worcestershire and Sherwood dan kehadiran beliau ke majlis itu bukan sebagai tetamu biasa, sebaliknya beliau dianggap orang kenamaan dan disambut serta dirai sebagai wira.

Mendiang turut diberi peluang mengadap Ratu Elizabeth II serta kerabat diraja lain di Istana Buckingham, di samping menerima elaun khas £100 (kira-kira RM494) setiap bulan daripada kerajaan Britain.

Beliau juga merupakan penerima anugerah Panglima Setia Bintang Sarawak, yang membawa gelaran Datuk oleh Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud sempena ulang tahun ke-82 pada 2018.

Selain itu, mendiang turut menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai menghargai pengorbanan yang dicurahkan demi keselamatan negara.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Editor: Aqmal Ezany

Tambah komen

Dari Wiser.my