Siakap Keli
Gambar: Bernama

Penyeragaman Peraturan, Cukai Hotel Dan Airbnb Hujung Tahun Ini

ALOR GAJAH, 20 Sept — Penyeragaman beberapa isu antaranya peraturan, perlesenan dan cukai melibatkan sektor perhotelan dan penyedia perkhidmatan penginapan dalam talian global, Airbnb akan dimuktamadkan selewat-lewatnya, hujung tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata penyeragaman itu perlu mengambil kira pelbagai aspek dan menentukan kaedah terbaik yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, kerana sektor Airbnb turut berpotensi menyumbang kepada ekonomi negara.

“Perkara ini masih dalam perbincangan bagaimana kita hendak mengklasifikasikan Airbnb dan ia mengambil kira persetujuan untuk membenarkan rumah persendirian terlibat dengan sektor itu selain perbincangan dengan badan pengurusan di sesuatu taman perumahan.

“Ia melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, kerajaan negeri serta Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi mencari satu kaedah bagaimana kita menyeragamkan isu tersebut secara keseluruhan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Komuniti Hab Taman Murai Jaya, Durian Tunggal di sini, hari ini.

Isnin lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata kerajaan akan memuktamadkan penyeragaman beberapa isu antaranya peraturan dan cukai melibatkan hotel dan Airbnb dalam usaha membantu sektor itu yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19.

Dalam perkembangan lain, Zuraida turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM300,000 kepada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bagi melaksanakan projek penyelenggaraan banjir di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Peruntukan ini termasuk menyelenggara sistem perparitan di sekitar kawasan MPHTJ ekoran sering berlaku banjir di kawasan tersebut dan kita berharap peruntukan tersebut secara tidak langsung dapat membantu PBT ini mempertingkat sistem pentadbiran dan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Projek Komuniti Hab akan diperluaskan di seluruh negara dan sekurang-kurangnya satu projek diwujudkan di setiap PBT bagi memastikan agenda memperkasa golongan miskin bandar, asnaf dan golongan berpendapatan rendah dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Terdahulu, Projek Komuniti Hab Taman Murai Jaya itu dirasmikan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafar Atan.

Projek Komuniti Hab Taman Murai Jaya yang dibangunkan dengan kos kira-kira RM50,000 itu terdiri daripada perpustakaan mini dan ruang pembelajaran, ‘kebun kita’ dan inisiatif projek rendah karbon menerusi pemberian basikal untuk kegunaan penduduk menjalankan aktviti riadah.

Komuniti Hab Taman Murai Jaya merupakan projek ketiga selepas Projek Perumahan Rakyat Beringin di Kepong pada 2018 dan Taman Dagang di Ampang Jaya pada tahun lepas.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right