Siakap Keli
Gambar: Polis Daerah Petaling Jaya

Menipu Pinjam Wang Imam RM1,100, Seorang Lelaki Dipercayai Mualaf Ditahan

PETALING JAYA, 21 Sept – Seorang lelaki tempatan dipercayai mualaf berusia 35 tahun ditahan polis berikutan kes penipuan pinjaman wang berjumlah RM1,100.

Ketua polis daerah, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, seorang mangsa yang juga imam masjid Seksyen 5 Kota Damansara telah didatangi suspek dengan tujuan meminjam wang bagi urusan menyelesaikan  masalah kad kreditnya yang disekat bank pada 1 Februari lalu.

“Mangsa dengan niat membantu telah menyerahkan RM450 kepada suspek, kemudiannya suspek telah ke Terengganu pada hari Ahad kerana urus niaga bank dibuka pada hari Ahad di sana.

“Setiba di Terengganu, suspek telah meminta wang tambahan bagi urusan-urusan mengaktifkan kad kreditnya.

“Mangsa sekali lagi telah menyerahkan wang melalui pindahan wang melalui akaunnya berjumlah RM650,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, mangsa menyedari nombor telefonnya telah disekat suspek dan suspek turut gagal dihubungi.

Gambar: Polis Daerah Petaling Jaya

“Mangsa juga baru mengetahui kejadian yang sama telah viral di dalam Facebook bahawa suspek telah menipu ramai imam dan ustaz di dalam negeri Selangor.

“Pada 20 Sept (semalam), mangsa sekali lagi terserempak dengan suspek di perkarangan Surau Mutiara Damansara yang berkemungkinan ingin melakukan jenayah yang sama,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, suspek telah ditahan oleh mangsa dan rakannya sebelum dibawa ke Balai Polis Mutiara Damansara.

Tangkapan dibuat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJKD) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Suspek yang mempunyai dua rekod lampau telah ditahan reman selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, serta boleh dipenjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

 

Sumber: Polis Daerah Petaling Jaya

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.