Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Penganggur Didakwa Bunuh Bapa Kandung Guna Botol Dan Serpihan Botol Kicap

IPOH, 21 Sept (Bernama) — Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bapa kandungnya, di sebuah rumah di Gunung Rapat dua minggu lalu.

Tertuduh, 49, dilihat tenang ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus, bagaimana tiada pengakuan direkodkan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada ayahnya, 75,  menggunakan botol dan serpihan botol kicap di dalam sebuah rumah di Gunung Rapat di sini pada kira-kira 6.30 petang, 12 Sept lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K. Darinee, manakala tertuduh diwakili Peguam R. Rajasegaran.

Mahkamah menetapkan 9 Nov depan untuk sebutan semula kes, bagi mendapatkan laporan bedah siasat.

Sementara itu, Rajasegaran ketika ditemui memaklumkan anak guamnya yang tidak bekerja itu, perlu mendapatkan rawatan susulan sakit mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, di sini.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.