Siakap Keli

Rakan Temui Jasad Wanita Tergantung Pada Kipas Siling Di Rumahnya Di Port Dickson

Seorang wanita ditemui mati tergantung pada kipas siling di sebuah rumah di Port Dickson dalam kejadian petang semalam.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, rakan mangsa yang datang ke rumah pada jam 4.15 petang menemui mayat wanita berusia 24 itu.

“Rakan mangsa mengesyaki berlaku perkara tidak diingini apabila mangsa tidak menyahut apabila dipanggil.

“Dia kemudian meminta tolong jiran berdekatan dan bertindak memecahkan pintu rumah sebelum menemui mangsa di dalam bilik di tingkat atas dalam keadaan tergantung pada kipas siling dengan kain sari,” kata beliau seperti memetik Sinar Harian.

Beliau berkata, hasil daripada pemeriksaan polis, tiada sebarang kesan perlakuan jenayah pada badan mangsa.

Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pembantu perubatan daripada Klinik Kesihatan Lukut dan pemeriksaan bedah siasat akan dilakukan oleh pegawai perubatan Hospital Port Dickson pada jam 10 pagi ini.

Siasatan lanjut masih dijalankan oleh pihak polis bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Sumber: Sinar Harian

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.