Siakap Keli

Singapura Catat 31 Kes Baharu Covid-19 Dalam Tempoh 24 Jam

SINGAPURA, 21 Sept (Bernama) — Singapura mengesahkan 31 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, termasuk sembilan kes import.

Dalam data ringkas yang dikeluarkan di sini hari ini, Kementerian Kesihatan republik itu (MOH) berkata kesemua kes import itu diserahkan Notis Duduk di Rumah sebaik sahaja tiba di Singapura.

Sementara itu siasatan MOH setakat ini mendapati tiada kes dalam komuniti.

Dengan perkembangan terkini itu, jumlah keseluruhan jangkitan di republik itu mencecah 57,607.

Kementerian itu berkata ia masih meneliti perincian kes dan laporan kes yang dikemas kini dijangka dikeluarkan malam ini.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat Ahad, kementerian itu mengklasifikasikan 1,015 kes dilaporkan sebagai kes import, 2,244 kes sebagai kes komuniti dan 54,317 kes melibatkan penghuni asrama.

MOH berkata 57,181 kes sudah pulih sepenuhnya dan didiscaj daripada hospital atau pusat jagaan komuniti.

Sejumlah 30 kes disahkan masih lagi berada di hospital tetapi tiada yang dimasukkan ke unit rawatan rapi, katanya.

Sementara itu, 338 pesakit yang bergejala ringan atau secara klinikalnya sihat tetapi masih positif dalam saringan COVID-19 telah diasingkan dan dijaga di pusat penjagaan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di republik itu.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam.

Massita Ahmad – BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.