Siakap Keli

Tukang Cat Ditahan Miliki 318,000 Biji Pil Kuda Bernilai RM3.1 Juta

TUMPAT: 21 September, pihak polis telah menahan seorang lelaki serta merampas dadah bernilai RM3.1 juta dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Chabang Empat di sini, Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Muhammad Piah berkata suspek berusia 46 itu diberkas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat yang melakukan serbuan pada 9 malam hari berkenaan.

“Dalam serbuan itu, suspek bertindak terjun dari rumah menerusi tingkap selepas menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditangkap oleh anggota yang menunggu di bawah rumah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya pemeriksaan polis ke atas bilik suspek menemukan 229 biji pil kuda di atas lantai dan susulan siasatan, suspek membawa polis ke bawah rumah dan menunjukkan dua guni berisi bungkusan dadah jenis pil kuda yang dianggarkan sebanyak 318,000 biji yang bernilai RM3.1 juta.

Siasatan lanjut mendapati suspek yang tinggal bersama ibunya yang berusia 70 tahun menjadikan rumah itu sebagai transit.

Katanya siasatan juga mendapati suspek aktif dalam kegiatan itu sejak Julai lepas dan kesemua dadah berkenaan diperoleh dari negara jiran.

Semakan mendapati suspek yang bekerja sebagai tukang cat itu tidak mempunyai rekod lampau, sementara ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

Suspek ditahan reman selama seminggu hingga 25 Sept depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, katanya.

Sumber: Bernama

Alfi Aiman

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.