Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Jabatan Imigresen Senaraikan Prosedur Terkini Bagi Warganegara Malaysia Yang Ingin Keluar Masuk Negara

PUTRAJAYA, 22 Sept – Jabatan Imigresen (JIM) mengeluarkan prosedur terkini bagi warganegara Malaysia yang ingin keluar negara dan masuk semula ke negara ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut satu kenyataan, bagi prosedur keluar negara untuk kategori tidak perlu memohon kelulusan antaranya adalah diplomat dan petugas di Kedutaan Malaysia yang ingin bertugas di luar negara termasuk tanggungan masing-masing.

“(Selain itu), pelajar yang menyambung pengajian dan baru mendapat tawaran belajar beserta tanggungan masing-masing, pelajar yang ingin mengambil peperiksaan dan pemegang pas jangka panjang di luar negara iaitu pemastautin tetap, pas residen, pas kerja dan lain-lain.

“Seterusnya, individu yang bekerja dengan syarikat petroleum dan syarikat perkapalan dan perlu sign-on ke atas kapal di luar negara, individu baru mendapat tawaran kerja dan individu yang mengiring pelajar untuk belajar (pengiring terhad kepada dua orang sahaja),” kata kenyataan tersebut, hari ini.

Bagaimanapun, pihak kategori tersebut perlu menunjukkan dokumen sokongan yang berkaitan kepada pegawai imigresen semasa hendak keluar.

Dalam pada itu, bagi kategori perlu memohon kelulusan JIM, mereka yang terlibat adalah yang menghadiri mesyuarat, seminar, pameran atau urusan perniagaan, serta urusan kecemasan.

Manakala bagi yang ingin melancong, bercuti dan lawatan biasa ke atas ahli keluarga, mereka tidak dibenarkan keluar negara.

“Sementara itu, bagi prosedur masuk semula ke negara ini, mana-mana rakyat negara ini yang berada di luar negara atau diberi kebenaran keluar dalam tempoh PKP adalah dibenarkan masuk tanpa perlu kelulusan JIM.

“(Dan) warganegara Malaysia dari negara yang disekat atau memegang pas lawatan jangka panjang dari negara yang dikenakan sekatan (juga) dibenarkan masuk ke Malaysia walaupun pernah keluar dalam tempoh PKP,” tambah kenyataan itu lagi.

Carta prosedur boleh dirujuk di lampiran di bawah.

Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'