Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Google

Pekebun Didakwa Bunuh Teman Wanita Warga Indonesia

MELAKA, 22 Sept (Bernama) — Seorang pekebun yang dituduh membunuh teman wanita warga Indonesia awal bulan ini, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Lo Kui Khiong, 54, mengangguk faham, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan, kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki yang beralamat di Sarawak itu, didakwa membunuh Rohimah, 40, di sebuah rumah tidak bernombor di kebun durian Lot 1136 Mukim Tanjung Minyak, Taman Bertam Impian di sini, pada 12.30 tengah malam, 7 Sept lepas.

Bapa dua anak itu yang hanya duduk di dalam kandang tertuduh kerana sakit gout, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 24 Nov depan untuk sebutan semula kes, bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.