Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Penceramah Cadangkan Mufti Perlis Suarakan Kepada MKN, KKM Semak Semula SOP Penjarakan Saf Ketika Solat Di Masjid, Ini Penjelasannya

Prosedur operasi standard (SOP) di institusi masjid dan surau masih lagi berkuatkuasa dengan ketat hingga hari ini.

Bawa sejadah sendiri, memakai pelitup muka dan menjarakkan saf adalah SOP utama yang diamalkan.

Walaupun arahan itu dilaksanakan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), namun ada beberapa perkara yang difikirkan perlu diperhalusi semula dari semasa ke semasa.

Demikian itulah pendapat seorang ahli akademik dalam bidang ilmu Hadis yang juga ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Dr. Kamilin Jamilin seperti yang ditulis di Facebooknya di bawah ini.

Gambar: Dr. Kamilin Jamilin

Dalam mesyuarat fatwa sebentar tadi, saya telah mencadangkan supaya pihak mufti dapat menyuarakan kepada pihak MKN atau KKM supaya menyemak kembali arahan atau SOP penjarakan saf ketika solat, kerana saya percaya keresahan ramai masyarakat muslim ketika ini bukanlah kerana mempertikaikan hukum yang telah diputuskan oleh pihak ulil amri, namun kerana situasi ‘double standard’ yang berlaku di tempat-tempat selain masjid.

Barangkali keizinannya boleh dilaksanakan secara berperingkat mengikut kawasan dan situasi semasa.

Masyarakat lebih tenang sekiranya perlaksanaan SOP adil dan seragam, apatah lagi solat adalah isu yang sensitif bagi kita umat Islam.

SS Dato Mufti sendiri meluahkan kepiluan yang dirasakannya ketika solat subuh bersama jemaah di masjid kerana penjarakan saf ini.

Siapa tidak? Saya juga sangat terasa.

Gambar: Dr. Kamilin Jamilin

Kami juga khuatir lama kelamaan jemaah akan ‘selesa’ sehingga berasa rimas untuk merapatkan saf.

Seandainya nanti SOP ini ditarik semula, saya menyeru supaya janganlah lagi membiarkan masjid-masjid kita lengang.

Hati ini sayu melihat rumah Allah yang sepi.

Semoga Allah menyatukan saf dan hati kita umat Islam.

Saya doakan supaya kita semua tergolong dalam mereka yang mendapat naungan Allah kerana hati yang cintakan masjid-Nya di mahsyar kelak.

-Dr. Kamilin Jamilin-

Sumber: Dr. Kamilin Jamilin – Seni Hadith

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.