Siakap Keli

Tular Video Rompakan Dipercayai Berlaku Di Tengah Lebuh Raya, Polis Sedang Buru Semua Suspek Yang Terlibat

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Seorang jurujual emas dan rakannya berdepan detik cemas apabila dirompak tiga lelaki bersenjatakan parang, di lebuh raya Sungai Besi (Lebuhraya Besraya) di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, dalam kejadian pada 3.35 petang itu, kenderaan yang dinaiki mangsa turut dilarikan bersama sejumlah wang tunai dan barangan kemas.

Beliau berkata kedua-dua mangsa yang dalam perjalanan mengedarkan barang kemas di sekitar Kuala Lumpur, dihalang tiga lelaki menaiki dua kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna hitam, yang kemudiannya memecahkan cermin kereta dan membawa lari kereta itu.

“Kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 47 dan 21 tahun itu ditarik keluar dari kereta, dan ditinggalkan di tepi jalan. Mereka turut mengalami kecederaan akibat terkena serpihan cermin yang pecah.

“Sewaktu kejadian, kesemua suspek memakai baju lengan panjang dan topeng muka jenis ski mask,” katanya kepada Bernama hari ini.

Zairulnizam berkata hasil maklumat awal, polis menemui kereta yang dilarikan itu dalam keadaan terbakar di kawasan Damansara.

Usaha mengesan semua suspek kini sedang dilakukan dan polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil membantu siasatan, katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 kerana rompak bersenjata.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang