MELAKA, 23 Sept (Bernama) — Enam pelajar sekolah menengah di Melaka dikesan positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian saringan air kencing dilaksanakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Pengarah AADK Melaka Nazir Mohamad berkata jumlah itu dikesan hasil ujian saringan yang dijalankan terhadap 554 pelajar dari 19 sekolah menengah iaitu 172 orang daripadanya disaring di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (179 orang) dan Jasin (203 orang).
“Umur pelajar paling muda yang positif dadah ialah 15 tahun dan perkara ini agak membimbangkan serta perlu dicegah pada peringkat awal agar mereka tidak terlibat dalam penyalahgunaan atau penagihan dadah pada usia muda.
“Saringan berdasarkan maklumat atau permintaan daripada pihak sekolah dan kriteria pelajar terlibat seperti kerap ponteng sekolah dan mempunyai masalah disiplin,” katanya kepada pemberita pada Wawancara Khas Bersama Pengarah AADK Melaka di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata seramai enam penjawat awam daripada 959 orang yang disaring daripada 19 agensi dan jabatan kerajaan di negeri ini dikesan positif dadah jenis methamphetamine dalam tempoh sama, menerusi Program Tempat Kerja Bebas Dadah.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata AADK Melaka telah menahan sebanyak 243 penagih dadah di rumah masing-masing menerusi Operasi Aduan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga 9 Jun lepas.
Beliau berkata tangkapan dilakukan berdasarkan aduan yang dilaporkan pihak keluarga menerusi hotline AADK sebagai langkah pencegahan mengelak individu tersebut melakukan perbuatan lebih berat seperti jenayah domestik iaitu penderaan fizikal atau seksual terhadap ahli keluarga.
“Kita juga meneruskan program kaunseling dalam talian kepada Orang Kena Pengawasan (OKP) dalam tempoh PKP selain kaunseling kelompok secara berkumpulan juga menerusi medium dalam talian kerana ia penting untuk memastikan OKP berkenaan tidak diabaikan,” katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat nasihat atau aduan mengenai aktiviti penyalahgunaan dan penagihan dadah boleh hubungi talian hotline AADK 24 jam iaitu 03-89112233 atau 019-6262233.
— BERNAMA