Siakap Keli
Gambar: Bernama

Kerajaan Brazil Mungkin Benarkan Peminat Datang Stadium

RIO DE JANEIRO, 23 Sept  — Peminat bola sepak Brazil tidak lama lagi kemungkinan berpeluang datang ke stadium untuk menyaksikan perlawanan, memetik Kementerian Kesihatan pada Selasa, lapor agensi berita Xinhua.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata pihaknya bersetuju dengan cadangan membenarkan stadium beroperasi semula dengan kapasiti penonton sehingga 30 peratus.

“Kebenaran itu mesti dilakukan dengan protokol kesihatan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua,” kata kementerian.

Pengendali stadium dan pihak berkuasa tempatan akan memutuskan protokol yang bakal digunakan, tambah kenyataan itu.

Bila tarikh sebenar kebenaran itu akan dilaksanakan masih belum ditentukan tetapi laporan media mengatakan Gabungan Bola Sepak Brazil (CBF) akan membincangkan keputusan itu dengan kelab-kelab bola sepak sebelum meneruskan rancangan itu.

Langkah itu juga memerlukan persetujuan pihak berkuasa negeri dan perbandaran masing-masing. Beberapa kelab dan pentadbiran daerah tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan kerana ia boleh meningkatkan lagi risiko penularan wabak COVID-19.

Brazil mempunyai jumlah kematian kedua tertinggi di dunia di belakang Amerika Syarikat.  Sejak pertengahan Mac, peminat dilarang memasuki stadium, semua perlawanan bola sepak turut ditangguhkan.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right