Siakap Keli
Gambar: Bangkok Post

40 Tahun ‘Menginap’ Dalam Hutan, Lelaki 82 Tahun Ditemui Bersama Anaknya Selepas Kali Terakhir Dilihat Pada 1973

Seorang lelaki berusia 82 tahun dan anaknya yang berusia 41 tahun ditemui tinggal di dalam sebuah hutan di Vietnam tengah selepas dilaporkan hilang semasa Vietnam perang dengan Amerika Syarikat, kata pegawai tempatan serta saudaranya pada Khamis.

Lelaki yang lebih berumur itu boleh berkomunikasi sedikit dalam bahasa etnik minoriti Cor, tetapi anaknya hanya tahu beberapa perkataan, kata seorang pegawai di komuniti Tay Tra yang terletak di wilayah Quang Ngai.

Menurut akhbar Dan Tri, lelaki tersebut kali terakhir dilihat berlari ke dalam hutan bersama dengan anaknya yang baru lahir pada ketika itu selepas bom meletup di rumahnya. Bom tersebut telah membunuh isteri serta dua anak lelakinya pada tahun 1973.

Mereka telah ditemui semasa dua orang penduduk kampung berdekatan masuk sedalam 40 kilometer ke dalam hutan tersebut untuk mencari kayu api sebelum menemui rumah pokok kedua-dua lelaki berkenaan.

Penduduk kampung melaporkan penemuan itu kepada pihak berkuasa tempatan yang kemudiannya mencari orang yang tinggal di rumah berkenaan dan membawa mereka keluar pada Rabu.

Kedua-dua lelaki terbabit hidup dengan hanya memakan sayur-sayuran serta memburu binatang. Mereka langsung tidak berhubung dengan dunia luar, kata laporan itu.

Gambar menunjukkan lelaki yang lebih muda dengan rambut kusut memakai kain pada pinggangnya yang diperbuat daripada kulit pokok. Lelaki itu juga didapati membuat kemeja daripada bahan yang sama.

 

Lelaki yang berusia 82 tahun itu dikatakan berjuang untuk Vietnam Utara ketika bom tersebut meletup, meninggalkan seorang lagi anak lelaki.

“Ayah saya berada dalam keadaan yang sangat lemah dan doktor kini sedang merawatnya, namun kesihatan adik saya baik sahaja walaupun dia kelihatan sangat kurus,” kata anak kepada lelaki berkenaan yang berusia enam bulan ketika bapanya itu melarikan diri ke hutan.

Lelaki itu dilaporkan sedang di rawat di pusat perubatan sementara anaknya dijaga oleh anak saudaranya.

“Pakcik saya tidak berapa faham apa yang dikatakan kepadanya, dan dia menolak untuk makan atau pun minum air,” kata anak saudara kepada lelaki tersebut.

“Dia sangat sedih. Dia tidak menyatakan apa-apa buat masa ini,” katanya. “Kami tahu bahawa dia ingin melarikan diri dari rumah saya untuk kembali ke hutan jadi kami harus sentiasa mengawasinya sekarang.”

 

Ketua daerah, Hoang Anh Ngoc, menyatakan bahawa pihak berkuasa tempatan telah mengunjungi lelaki tersebut di pusat perubatan dan memberinya makanan.

“Saya meminta pegawai untuk mengawasi kedua-dua lelaki itu bagi memastikan mereka tidak melarikan diri kembali ke hutan,” katanya kepada dpa.

Penemuan itu telah mengejutkan komuniti kecil, yang menyangka kedua-dua mereka telah mati.

“Tidak ada yang dapat membayangkan lelaki tersebut dan anaknya dapat hidup selama 40 tahun dalam keadaan terasing di persekitaran hutan yang sangat mencabar,” kata penduduk kampung Ho Van Xanh.

Terdapat lebih daripada 33,800 anggota Cor yang tinggal di Vietnam, kebanyakannya berada di beberapa daerah yang terletak berdekatan Quang Ngai dan wilayah Quang Nam.

Dari 18,500 orang yang tinggal di daerah Tay Tra, 95% daripadanya tergolong dalam kumpulan etnik Cor, kata ketua daerah Ngoc.

Kebanyakan daripada mereka bercucuk tanam sayur-sayuran seperti ubi kayu, bijirin dan kayu manis sebagai punca rezeki.

Sumber: Bangkok Post

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa