Siakap Keli
Kredit gambar: Google

KKM Tambah Kapasiti Makmal rRT-PCR, Siap Siaga Hadapi Peningkatan COVID-19 Di Sabah

PUTRAJAYA, 23 Sept – Kementerian Kesihatan (KKM) menambah kapasiti makmal yang boleh menjalankan diagnostik real-time Reverse-Transcription Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR).

Ketua pengarahnya, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia bertujuan sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi pertambahan bilangan kes COVID-19 di Sabah.

Jelasnya, ujian rRT-PCR tersebut digunakan bagi pengesahan COVID-19 dan dijalankan di tiga makmal iaitu Makmal Hospital Queen Elizabeth, Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu dan Makmal Universiti Malaysia Sabah.

“Ujian rRT-PCR di Sabah telah bermula pada Februari 2020 di Makmal Kesihatan Awam, Kota Kinabalu dengan kapasiti 200 ujian sehari.

“Seterusnya diperluaskan ke Hospital Queen Elizabeth dengan kapasiti 100 ujian sehari, serta di makmal Universiti Malaysia Sabah sebanyak 100 ujian sehari pada Mac 2020.

“Secara keseluruhan, jumlah kapasiti ujian harian makmal sampel COVID-19 di seluruh negeri Sabah kini dipertingkatkan kepada 2,500 ujian sehari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sekiranya ujian rRT-PCR COVID-19 di Sabah mencecah 2,500 ujian sehari, sampel yang selebihnya akan dihantar dari Sabah ke Semenanjung Malaysia dengan menggunakan perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta perkhidmatan kurier swasta ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi menampung pengujian sampel tambahan.

Sumber: KP Kesihatan

Sementara itu, ujian Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag) juga digunakan KKM sebagai ujian saringan COVID-19.

“RTK-Ag mempunyai kelebihan untuk mengesan wabak COVID-19 dengan cepat dalam jumlah yang besar.

“Sehingga kini, terdapat 23 makmal di hospital KKM dan 26 makmal di klinik kesihatan yang menjalankan ujian RTK-Ag di Sabah.

“Sejak awal Mei 2020, sebanyak 23,900 kit RTK-Ag telah diagihkan kepada Sabah dan tambahan 15,000 kit lagi diagihkan pada 17 September berikutnya untuk membantu pengesanan kes COVID-19,” tambah kenyataan itu lagi.

Selain itu, sebuah makmal molekular di Hospital Tawau, Sabah sedang dibangunkan KKM untuk jangka masa panjang.

“KKM juga sedang menunggu penghantaran kaset GENEXPERT COVID-19 dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi kegunaan di Hospital Tawau, Hospital Sandakan dan Hospital Lahad Datu.

“Ujian ini digunakan bagi mengesan virus SARS-COV-2. Mesin GENEXPERT dengan empat (4) laci mampu menjalankan sebanyak 40 ujian sehari,” katanya lagi.

Sumber: KP Kesihatan

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.