Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Pelajar IPTA Antara Empat Lelaki Ditahan Miliki Ganja

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) — Empat lelaki termasuk seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah jenis ganja ditahan dalam dua serbuan di Menara Simfoni, Balakong, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata dalam serbuan kira-kira 2.30 petang itu, seorang lelaki ditahan di kawasan tempat letak kereta dan hasil pemeriksaan menemukan satu ketulan mampat berisi bahan disyaki dadah jenis ganja dianggarkan seberat 256.5 gram.

Katanya, susulan tangkapan itu pihaknya menahan tiga lelaki di sebuah rumah di kawasan sama kira-kira 2.45 petang dan menemui enam ketulan mampat, 18 paket dan empat botol cecair berisi bahan disyaki ganja dianggarkan seberat 2.3 kilogram bersama peralatan untuk membungkus dadah serta wang tunai RM1,200.

“Semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah serta hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua suspek positif dadah jenis kanabis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket tersebut aktif dalam aktiviti pengedaran dadah jenis kanabis sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lepas.

Jelasnya, jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dianggarkan RM6,541 itu dipercayai boleh dibekalkan kepada 872 penagih dadah.

Katanya, kesemua suspek berusia 24 tahun itu direman enam hari sehingga 29 Sept dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.