Siakap Keli
Gambar: Bernama

Serunding Puyuh Beri Rezeki Semasa Penularan COVID-19

TANAH MERAH, 24 Sept — Penularan pandemik COVID-19 yang menjejaskan pendapatan banyak pihak termasuk pengusaha burung puyuh di negeri ini memaksa mereka mencari ‘jalan keluar’ bagi memastikan perniagaan terus terselamat dan tidak menanggung kerugian.

Pengusaha puyuh penelur Abdul Khairan Firdaus Abdul Rahim, 38, berkata beliau mengambil keputusan menghasilkan produk serunding berasaskan haiwan ternakan itu berikutan jualan telur puyuh merudum akibat COVID-19.

Ternakan burung puyuh miliknya di Kampung Tirok Gual Ipoh, dekat sini yang kini berjumlah 3,000 ekor dapat menghasilkan sebanyak 15,000 biji telur sehari untuk pasaran tempatan.

“Saya terpaksa menyembelih hampir 20,000 burung puyuh ternakan saya, ia menghasilkan 5,000 kilogram (kg) daging puyuh, kemudian saya berjumpa kenalan di Tumpat yang mempunyai syarikat menghasilkan produk serunding untuk mendapat kerjasama menghasilkan serunding puyuh,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Abdul Khairan berkata daripada 5,000kg daging puyuh yang disembelih itu, ia dapat menghasilkan sebanyak 500kg serunding puyuh.

Beliau yang mengusahakan ternakan burung puyuh sejak 2015, berkata kini secara purata sebanyak 500 kg serunding puyuh seminggu dapat dihasilkan dan mampu meraih hasil jualan mencecah kira-kira RM40,000 sebulan.

Abdul Khairan yang turut mendapat bimbingan keusahawanan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang  Kawasan Tanah Merah, memasarkan serunding tersebut secara runcit dan borong di pasaran tempatan dan berhasrat mengembangkan jualan ke luar negara.

“Saya turut memasarkannya secara dalam talian dan menggunakan ejen yang kini ada seramai 64 orang seluruh negara,” kata bapa kepada dua anak itu yang turut mempunyai ejen jualan di Singapura.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right