Siakap Keli
Gambar: Info Roadblock JPJ/Polis

(Video) Tular Penunggang Grab Food Dilanggar Lari, Pemandu Kereta Diburu Polis

PETALING JAYA, 24 Sept – Pemandu kereta yang melanggar lari seorang penunggang motosikal Grab Food dalam satu kejadian seperti yang tular hari ini diburu polis.

Ketua polis daerah, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian di Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Ipoh itu berlaku pada 22 September, pukul 12.34 tengah malam kelmarin.

Menurutnya, mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan berumur 23 tahun itu tampil ke balai polis bagi membuat laporan.

“Berdasarkan video tular itu, kemalangan berpunca apabila kereta tersebut mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri lalu melanggar belakang motosikal mangsa yang berada di lorong kiri.

“Pemandu kereta terbabit terus meninggalkan lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan ringan di tangan, kaki, peha dan betis, manakala motosikalnya pula mengalami kerosakan di beberapa bahagian.

Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis Daerah Petaling Jaya sedang giat menjalankan usaha mengesan pemandu kereta yang terlibat dalam kejadian kemalangan ini,” tambah kenyataan itu lagi.

Sebarang maklumat daripada orang ramai boleh disalurkan kepada balai polis berdekatan atau terus berhubung dengan pegawai penyiasat trafik, Sarjan Saidatul Asma Binti Ariffin di talian 018-9765949 atau 03-79662222.

 

 

Sumber: Polis Daerah Petaling Jaya, Info Roadblock JPJ/Polis

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.