Siakap Keli
Gambar: Bernama

Pembunuhan Rakyat Korea Selatan, Tentera Tingkat Tahap Persediaan

Seoul memperketat tahap persediaan ketenteraan untuk meningkatkan pemantauan terhadap pergerakan tentera Korea Utara terutama dekat sempadan perairan yang agak tegang, berikutan pembunuhan kejam seorang rakyat Korea Selatan, kata Kementerian Pertahanan pada Jumaat.

Pada Selasa, Korea Utara didakwa menembak seorang pegawai perikanan di kawasan perairannya dan membakar mayat mangsa. Pegawai itu dilaporkan hilang pada Isnin ketika menjalankan tugas dekat pulau Yeonpyeong di sempadan Laut Kuning, lapor agensi berita Yonhap.

“Tentera mengeluarkan arahan pada Khamis meminta tahap persediaan dipertingkatkan ekoran situasi sekarang,” kata wakil jurucakap kementerian Kolonel Moon Hong-sik kepada wartawan.

“Fokus utama ialah untuk memantau pergerakan tentera Korea Utara  bagi mencegah meningkatnya ketegangan.”

Sementara itu, Menteri Pertahanan Suh Wook dalam ucapannya semasa sambutan Hari Angkatan Tentera berkata “jika Korea Utara mengancam mereka, kita bersiap sedia untuk bertindak dengan tegas.”

Pengkritik dan anggota parlimen pembangkang mengecam tentera kerana dikatakan tidak mengambil sebarang tindakan berhubung kejadian pembunuhan itu.

Tentera juga didakwa tidak bertindak untuk menyelamatkan mangsa. Pegawai lelaki itu dilaporkan dibunuh selepas enam jam dikesan.

Menurut tentera pihaknya memerlukan masa untuk menganalisis risikan daripada pelbagai sumber dan pihak berkuasa sama sekali tidak menyangka Korea Utara akan bertindak sedemikian.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right