Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Polis Berkas Semula Tahanan Wanita Bolos Bersama Teman Lelaki

KUANTAN, 25 Sept (Bernama) — Polis berjaya menahan semula tahanan wanita yang melarikan diri dari perkarangan Mahkamah Raub, kira-kira 165 kilometer (km) dari sini pada 14 Sept lepas di sebuah rumah di Kampung Gali, Raub, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Kama Azural Mohamed berkata suspek berusia 23 tahun itu ditahan pada 9 malam bersama-sama teman lelakinya berusia 22 tahun, yang dipercayai membantu wanita berkenaan melarikan diri.

“Kedua-dua suspek dijumpai di sebuah bilik di dalam rumah itu dan serbuan juga menemukan motosikal yang dipercayai digunakan mereka pada hari kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kama Azural berkata siasatan awal mendapati suspek lelaki yang beralamat di Benta, Lipis kira-kira 154 km dari sini, mempunyai enam rekod kesalahan lampau termasuk berkaitan dadah dan pecah rumah.

Dalam kejadian 4.30 petang 14 Sept lalu, wanita itu yang berasal dari Dong, Raub nekad melompat dan membonceng sebuah motosikal yang berhenti di sebelahnya dalam keadaan tangan bergari untuk melarikan diri semasa hendak dibawa pulang ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Raub, selepas tamat prosiding mahkamah terhadapnya yang didakwa positif dadah.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story