Mayat seorang pemuda berumur 20 tahun telah ditemui dalam keadaan tinggal tulang belulang di Kampung Desa Pantai Cabe, daerah Tapin, Wilayah Kalimantan Selatan, lapor Tribun News.
Menerusi penemuan itu, Tribun News melaporkan bahawa terdapat gelang kaki yang serupa dipakai oleh mangsa.
Rangka tersebut pada awalnya ditemui oleh seorang budak lelaki yang sedang memburu burung.
Salah seorang budak yang memburu burung itu tergelincir dan memijak sesuatu ketika berada di semak samun. Ketika tergelincir, budak itu dalam ketakutan apabila melihat rangka dan tengkorak yang diandaikan milik manusia.
Menurut Tribun News, rangka manusia tersebut adalah milik seorang lelaki berumur 20 tahun yang berasal dari Desa Telaga Baru, daerah Banjar, Wilayah Kalimantan Selatan.
Tulang belulang itu dilaporkan telah dituntut oleh ahli keluarga mangsa.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh seorang petugas pengurusan jenazah bernama Muhammad Zaini di RSUD Datu Sanggul Rantau pada Khamis.
“Alhamdulillah, sudah dituntut oleh keluarganya,” katanya ketika dihubungi wartawan Banjarmasinpost.co.id.
Menurut Kade Suryawandika, pegawai polis, punca kematian serta punca mayatnya ditemui dalam keadaan begitu sedang dalam siasatan pihaknya.
“Punca kematian masih lagi dalam siasatan,” katanya.
Sumber: Tribun News