Pelakon, bekas penyampai berita dan pengacara veteran RTM, Wan Chik Daud dilaporkan meninggal dunia pada usia 80 tahun di kediamannya di Lembah Keramat, ibu negara pada jam 11 pagi, hari ini.
Memetik laporan RTM, berita berkenaan disahkan oleh Presiden Persatuan Veteran RTM (PVRTM), Zohara Gany Bathusha.
Sebelum ini, Allahyarham Wan Chik dilaporkan menghidap kanser payu dara, kencing manis dan darah tinggi.
Menyingkap kembali sejarah kehidupannya, Wan Chik Daud dilahirkan pada tahun 1940 di Alor Merah, Alor Setar, Kedah. Allahyarham pernah menjadi Ratu Kebaya semasa di Pulau Pinang sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur.
Filem DO RE MI keluaran Studio Merdeka merupakan filem pertama bagi Allahyarham dan melonjakkan namanya sebagai antara pelakon wanita terawal berlakon dalam filem arahan Tan Sri P .Ramlee.
Setelah itu, beliau mengembangkan sayap sebagai pembaca berita dan merupakan pasangan penyampai berita televisyen pertama dalam sejarah penyiaran negara bersama Kamaruddin Ahmad.
Allahyarham pernah berkahwin dengan pelakon terkenal, M.Rajoli pada tahun 1986 sehingga suaminya menghembuskan nafas terakhir pada 17 September 2010 dan dikurniakan empat orang cahaya mata.
Sumber: RTM, Repair Gambar Lama