SEPANG, 28 Sept — Malaysia Airports telah melaksanakan beberapa inisiatif tambahan di lapangan terbang kendaliannya, untuk mempermudah dan melicinkan proses saringan COVID-19 kepada semua penumpang yang tiba dari Sabah.
Malaysia Airports dalam satu kenyataan hari ini menyatakan antara inisiatif dilaksanakan adalah penyediaan troli makanan dan minuman bergerak di kawasan menunggu untuk ujian saringan bagi membolehkan penumpang membeli makanan ringan sementara menunggu giliran masing-masing.
“Warga emas, orang kurang upaya, ibu mengandung dan keluarga dengan anak kecil akan diberi akses ke laluan utama untuk membantu memudahkan proses ketibaan mereka,” menurut Malaysia Airports.
Tempat duduk tambahan juga disediakan di pintu masuk ketibaan serta di sepanjang laluan ke kawasan ujian saringan, katanya.
Malaysia Airports memaklumkan terdapat 12 penerbangan yang membawa 1,400 penumpang dari Sabah di terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan 19 penerbangan yang membawa 2,300 penumpang di terminal klia2, semalam.
Malaysia Airports menjangkakan peningkatan jumlah ketibaan penumpang dari Sabah hari ini dan memaklumkan Kementerian Kesihatan serta semua pihak berkuasa berkaitan mengenai ketibaan penerbangan – penerbangan itu.
Untuk hari ini, dijangka 10 penerbangan akan tiba di terminal utama KLIA dan 19 penerbangan di terminal klia2.
Semalam, Malaysia Airports dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah mengedarkan paket makanan percuma kepada penumpang yang menunggu giliran untuk melakukan saringan.
“Kami akan terus bekerjasama dengan Nadma dan menyumbang untuk mengedarkan makanan dan minuman percuma kepada penumpang.
“Beberapa pengendali makanan dan minuman seperti Starbucks, Kopi Kita, Needs Convenience dan WHSmith Convenience juga telah diminta untuk melanjutkan operasi mereka melebihi pukul 8 malam,” menurut Malaysia Airports.
Sabtu lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan syarat bagi individu yang tiba dari Sabah untuk menjalani ujian saringan COVID-19 mulai semalam hingga 10 Okt.
Menurut Malaysia Airports tenaga kerja tambahan daripada pasukan keselamatan penerbangan dan pasukan khidmat pelanggan berpengalaman juga telah dikerah untuk memberikan bantuan di lapangan dan membantu memastikan pematuhan jarak fizikal.
Sumber: BERNAMA