Siakap Keli
sakit perut berlari
Kredit: Google

Perut Anda Selalu Kejang Ketika Berlari? Cuba Amal 5 Tips Ini

Rata-rata mungkin pernah merasai sakit pada bahagian abdomen ketika sedang bersenam, khususnya berlari.

Menurut Hello Doktor, keadaan ini dikenali sebagai side stitches, iaitu sensasi tajam dan menikam pada sisi perut.

Hampir 70 peratus individu yang aktif berlari dikatakan pernah mengalami keadaan ini di mana ia lebih kerap terjadi pada sebelah kanan abdomen berbanding sebelah kiri.

Untuk lebih memahami keadaan ini, mari kita baca penjelasan oleh Hello Doktor di bawah.

Menurut kajian, hampir 70% individu yang aktif berlari akan mengalami sakit pada bahagian sisi perut sekurang-kurangnya sekali semasa melakukan aktiviti fizikal.

Individu yang baru mula berlari juga didapati lebih mudah terkena cramp atau sakit pada bahagian sisi perut. Oleh itu, jika anda baru mula berlari, pastikan anda jaga pemakanan anda sebelum memulakan larian.

Side stiches atau cramp mungkin akan membuatkan anda rasa tidak selesa semasa berlari. Tambah lagi, ada juga yang terpaksa berlari ke tandas ketika sedang bersenam akibat masalah ini!

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Jadi, bagaimana hendak selesaikan? Jom ikuti tips senaman kami untuk kurangkan rasa sakit yang anda alami ketika berlari.

5 tips senaman untuk kurangkan sakit perut ketika berlari:

1. Pastikan anda melakukan regangan

Sebelum bersenam, pastikan anda melakukan warm up ataupun regangan terlebih dahulu!

Senaman ringan ini dapat melancarkan peredaran darah, menaikkan suhu badan dan meningkatkan kadar degupan jantung.

Aktiviti regangan juga dapat membantu otot lebih bersedia untuk melakukan pergerakan yang lebih banyak ketika bersenam nanti.

Jika badan tiba-tiba bergerak dengan aktif tanpa sebarang regangan, besar risiko untuk anda mengalami kecederaan semasa bersenam.

Oleh itu, anda disarankan untuk melakukan senaman sekurang-kurangnya 20-30 minit sebelum bersenam. Dengan melakukan senaman, badan akan jadi lebih bersedia untuk melakukan aktiviti fizikal.

Selain itu, anda boleh mulakan senaman dengan perlahan. Pada 10 minit yang pertama, mulakan larian anda dengan perlahan sebelum memecut.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

2. Pastikan anda minum air dengan cukup

Ramai yang mengelak minum air sebelum bersenam kerana tidak mahu perut dipenuhi air ketika berlari. Keadaan ini boleh menyebabkan pelari rasa tidak selesa dan rasa ingin muntah.

Walau bagaimanapun, tidak minum air langsung ketika berlari boleh membuatkan rasa sakit pada sisi perut yang anda alami jadi makin kerap.

Apabila anda bersenam dalam keadaan haus atau tidak minum air yang mencukupi, perut anda mungkin akan meragam ketika bersenam.

Individu yang tidak minum air dengan cukup juga boleh rasa kejang dan mungkin akan alami cirit-birit apabila senaman telah berakhir.

Jika boleh, pastikan anda minum air secukupnya sebelum bersenam dan bawa botol air supaya anda boleh kekal hidrasi sepanjang larian.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Selain itu, pastikan anda minum air secara perlahan-lahan. Jangan teguk air dengan cepat! Perkara ini juga boleh menyebabkan anda diserang rasa kejang ketika berlari!

3. Elak makanan berserat

Makanan penuh serat penting untuk kesihatan perut. Walau bagaimanapun, sebelum berlari, pastikan anda tidak mengambil terlalu banyak makanan berserat.

Makanan berserat boleh menyebabkan anda tiba-tiba sakit perut dan terpaksa ke tandas sewaktu bersenam!

Oleh itu, elakkan makan roti, bijirin, sayur-sayuran hijau, brokoli ataupun buah-buahan seperti beri 4-5 jam sebelum memulakan larian.

4. Elak makan makanan berlemak untuk kurangkan sakit perut

Jika anda ingin bersenam, elakkan makan makanan yang berlemak supaya anda tidak akan diserang sakit perut ketika berlari. Jika boleh, makan makanan seperti:

  • Pisang
  • Energy bar
  • Yogurt atau granola
  • Nasi dengan telur rebus atau poached egg
  • Makanan yang disenaraikan di atas rendah lemak dan rendah serat. Jika anda kerap alami masalah sakit perut dan kekejangan, cuba amalkan makanan di atas!
Gambar hiasan. (Kredit: Google)

5. Jangan minum kopi

Ada orang yang lebih ‘sensitif’ terhadap kopi! Apabila terbau sahaja kopi, terus rasa hendak ke tandas!

Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, elakkan minum kopi sebelum anda pergi berjoging. Mana tahu, masalah perut memulas yang anda alami semasa berjoging dapat dikurangkan!

Perut jadi kejang dan sakit? Macam mana nak rawat?

Jika perut anda kejang ketika berlari, anda dinasihatkan untuk memperlahankan larian ataupun berjalan sebentar.

Selain itu, anda juga boleh cuba letakkan tangan pada bahagian kanan perut dan tolak ke atas sambil bernafas secara normal selama 2-4 minit.

Jika anda ingin minum air, cuba minum air yang boleh mengembalikan keseimbangan elektrolit dalam badan.

Kesimpulan

Kebanyakan atlet, lebih-lebih lagi pelari akan mengalami masalah sakit pada sisi perut dari semasa ke semasa. Kekejangan ini merupakan sesuatu yang normal dan lazim berlaku.

Side stitch atau cramp yang anda alami sepatutnya hilang dalam beberapa minit.

Namun, jika anda telah melakukan tips senaman di atas ataupun mengalami kesakitan yang berpanjangan ketika bersenam, mungkin ia bukan disebabkan oleh kekejangan.

Oleh itu, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan. Kesakitan yang berpanjangan mungkin tanda penyakit lain yang lebih serius.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.