Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Sebabkan Kematian Lelaki, Bekas Pemandu Bas Dipenjara Sembilan Tahun

KUALA LUMPUR, 28 Sept — Bekas pemandu bas dipenjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki menggunakan kapak.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Dahreen Yunus, 32, menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama prosiding membela dirinya.

Mahkamah memerintahkan Mohd Dahreen menjalani hukuman tersebut di Penjara Kajang bermula dari tarikh tangkap pada 24 Ogos 2018.

Mohd Dahreen didakwa menyebabkan kematian S. Yesuva Devan, 22,  di tepi jalan, Taman Bukit Anggerik, di sini, antara 11 pagi dan 12 tengah hari, 23 Ogos 2018 mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Azi Azlin Zulkifli memohon hukuman minimum dengan alasan itu kesalahan pertama anak guamnya dan kematian mangsa bukan kematian yang dirancang serta dilakukan secara kejam.

“Kecederaan yang dialami mangsa juga menurut forensik tidak fatal dan boleh dirawat, yang dalam kes ini tertuduh telah membantu merawat mangsa… Kecederaan juga hanya melibatkan satu tetakan sahaja dan bukannya berkali-kali serta bukan pada kepala atau organ vital seperti kebanyakan kes.

“Tertuduh mempunyai dua orang anak yang masih kecil, isterinya tidak bekerja serta ibu bapa tertuduh menghidap penyakit angin ahmar dan buah pinggang,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi memohon hukuman yang dapat memberi kesan pencegahan dengan alasan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah kesalahan serius.

“Kesalahan ini tidak boleh dipandang rendah, sebanyak 14 orang saksi pendakwaan telah memberikan keterangan di mahkamah.

“Niat jahat tertuduh jelas kelihatan apabila mendatangkan kecederaan dengan menggunakan kapak,” katanya.

Sebelum ini tertuduh didakwa dan dibicarakan atas pertuduhan membunuh mengikut Sekyen 302 Kanun Keseksaan bagaimanapun pada 25 Sept  lepas, mahkamah memerintahkan lelaki itu membela diri atas pertuduhan menyebabkan kematian.

— BERNAMA

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.