Siakap Keli

TERKINI: Kerajaan Isytihar PKPD Bersasar Secara Pentadbiran Di 4 Daerah Di Sabah Mulai Tengah Malam Ini

PUTRAJAYA, 28 Sept – Kerajaan mengisytiharkan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna mulai 12.01 tengah malam ini sehingga 12 Oktober kelak.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPDB yang melibatkan 962,661 penduduk itu dibuat berikutan jumlah kes positif yang tinggi dicatatkan di empat-empat kawasan terbabit.

“Semua penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPDB sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

“Semua penduduk dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke empat daerah terlibat sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, semua aktiviti perniagaan turut dihentikan kecuali premis barangan keperluan dan perkhidmatan perlu (essentials) di empat daerah tersebut.

“Pengkalan perubatan (medical base) akan dibuka di kawasan PKPDB dan semua laluan keluar masuk ditutup,” tambah kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pegawai yang diberi kuasa akan diarahkan berkawal di seluruh kawasan terlibat.

Sebelum itu, KKM mengesahkan terdapat 1,195 kes positif COVID-19 di semua kawasan tersebut dari tempoh 1 hingga 27 September semalam, iaitu Lahad Datu merekodkan 241 kes, Tawau 634 kes, Kunak 65 kes dan Semporna 255 kes.

Bagi sebarang bantuan atau pertanyaan, penduduk boleh hubungi talian khas Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 089-881255 (Lahad Datu), 089-752222 (Tawau), 089-851222 (Kunak) dan 089-782020 (Semporna).

Sumber: Ismail Sabri Yaakob

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.