Siakap Keli
Gambar: Google

(Video) Lima ‘Cara’ Ni Boleh Selamatkan Duit Belanja Dapur

Katakan kita tengah haus dan tekak mengidam nak minum kopi, lepas tu kebetulan pula di depan kita ada dua kedai kopi.

Satu, kedai kopi berjenama luar negara yang dah tentu harganya premium dan satu lagi, kedai kopi peniaga tempatan yang harganya lebih ‘berjiwa rakyat’.

Daripada segi rasa dan ‘presentation’, mungkin kedua-duanya setaraf. Tapi secara logiknya, mana satu yang kita rasa lebih ‘ringan’ nak berbelanja. Dah tentu kedai kedua kan?

Begitulah analogi yang boleh diumpamakan dalam memilih barangan di pasaran, antara produk import ataupun tempatan.

Gambar sekadar hiasan. Kredit: Google

Dalam keadaan ekonomi negara baru nak pulih, kita sebagai rakyat dan pengguna kena tahu, bagaimana cara nak berjimat dalam berbelanja, dalam masa sama apa yang dibelanjakan itu boleh memberi kepuasan.

Kalau sebelum ini ketika COVID-19 belum ‘tiba’ di Malaysia kita dah terbiasa berbelanja besar hatta sekadar beli barang dapur, kali ini kita dah kena ubah cara berbelanja.

Percaya tak kalau dikatakan, membeli barangan tempatan itu sebenarnya jauh lebih jimat dan bagus untuk ekonomi kita sendiri?

Hakikatnya, ya. Kerajaan sendiri dah kaji ‘rahsia’ ini sejak dulu lagi. Sebab itu Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dilaksanakan bagi mendidik kita semua untuk berbelanja dengan lebih bijak, lebih-lebih lagi ketika musim pandemik ini.

Jangan tak tahu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebenarnya ingin memupuk kita untuk mengubah gaya hidup lebih bersederhana dan berbelanja mengikut kemampuan.

Melalui apa?

Pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai dalam satu rencana baru-baru ini mengulas tentang hubungan antara kepentingan membeli barangan tempatan dengan transformasi gaya berbelanja dalam kalangan rakyat.

Dalam penulisan itu, beliau turut menyenaraikan beberapa sebab penting kenapa kita kena utamakan barangan buatan tempatan.

Apabila pakar sudah berkata-kata, apa lagi yang mahu kita ragukan? Mari baca lima sebab utama ini.

1- Bantu pulihkan ekonomi

Semua tahu, keadaan ekonomi hari ini sangat mendesak, tambah-tambah lagi pandemik COVID-19 memberi kesan besar kepada dunia termasuklah negara kita sendiri.

Dalam pada kerajaan melancarkan pelbagai bantuan untuk kita di peringkat persekutuan seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), penangguhan moratorium dan lain-lain, apa salahnya kita sebagai rakyat memainkan peranan untuk ‘kembali’ membantu negara melalui ekonomi. Barulah adil, kan?

Itu sudut kerajaan. Bagi pengusaha tempatan khususnya dari golongan marhaen B40, sekarang menjadi tugas kita untuk beli barangan mereka. Kita sokong bisnes mereka.

2- Kurangkan kebergantungan import

Menurut Dr. Barjoya, negara kita terlalu bergantung pada keluaran import apabila 80 peratus barangan yang kita guna adalah dari luar negara.

Gambar sekadar hiasan. Kredit: Google

“Produk makanan contohnya, kita berbelanja kira-kira RM80 bilion setiap tahun untuk mengimport.

“Kita perlu kurangkan kebergantungan produk import ini dengan menfokuskan barangan keluaran sendiri,” jelasnya.

Sudah sampai masa kita kena buktikan yang Malaysia mampu ‘berdikari’ sendiri, tak harapkan negara luar.

Kita kaya dengan sumber. Malah siap boleh eksport lagi ke pasaran luar. Kenapa nak import lagi kalau sepatutnya boleh jana untuk rakyat sendiri?

3- Barangan tempatan juga berkualiti

“Kenapa taksub kepada produk import sedangkan produk tempatan jauh lebih baik kualitinya,” kata Dr. Barjoyai.

Tak dinafikan, mungkin ada sebahagian orang kita lebih percaya dengan produk luar kerana jenamanya serta berpendapat; lebih maju negara itu, lebih berkualiti produknya.

Kita kena sedar, Malaysia hari ini sudah bertapak kukuh dalam menghasilkan pelbagai produk sendiri untuk dipasarkan di pasaran tempatan mahupun eksport.

Kita kan ada SIRIM. Kenapa perlu risau tentang kualiti, kan?

4- Tonjolkan pengeluar tempatan

“Kita juga perlu tonjolkan pengeluar tempatan supaya pengguna muda terutamanya lebih menghargai produk tempatan.

“Ia harus dilakukan dengan jelas dengan mesej yang tepat melalui kempen KBBM ini,” jelasnya.

Saudara-saudari sekalian, gaya keusahawanan di negara kita sudah jauh berbeza pada hari ini.

Telah ramai usahawan tempatan yang berjaya mencipta dan mengeluarkan produk sendiri, baik perladangan, pakaian, makanan, kenderaan, sehinggalah ke teknologi.

Barangan mereka sudah berada di pasaran, tinggal kitalah yang bertanggungjawab menyokong mereka melalui pembelian.

Gambar sekadar hiasan. Kredit: Google

Dalam bahasa mudahnya, setiap kali nak beli barang, kita cari kedai mereka, kita ‘habiskan’ barangan mereka sampai mereka ‘terpaksa’ restock balik.

Biar mereka ‘penat’ dalam untung, sekaligus menjadikan produk mereka dikenali ramai.

Sekarang kan zaman media sosial. Medium pemasaran hanya di hujung jari. Story Instagram, WhatsApp, Facebook, Twitter dan sebagainya, semua dah ada.

5- Beri impak positif pada ekonomi & peluang pekerjaan untuk rakyat

Secara teorinya, konsep ini sangat berkesan kalau diamalkan betul-betul.

Apabila kita bergantung 100 peratus kepada sumber tempatan, maka pihak pengeluar, pengilang, pemborong dan peniaga misalnya akan menerima permintaan yang tinggi.

Bila permintaan tinggi dan ‘mendesak’, nak taknak mereka ‘terpaksa’ meluaskan lagi cabang perniagaan, mencari pembekal-pembekal tempatan dan pengilang, malah peluang pekerjaan juga pasti dibuka.

Rantaian ekonomi yang rancak sebegini secara tak langsung boleh membuatkan negara luar ‘terpukau’ dengan kemampuan Malaysia; negaranya kecil je tapi begitu mengutamakan keseimbangan ekosistem ekonomi untuk rakyatnya.

Tak ke Malaysia akan dihormati, dipandang tinggi dan diiktiraf sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem ekonomi berkebajikan?

Gambar sekadar hiasan. Kredit: Google

Jadi, begitulah lima sebab utama kenapa kerajaan begitu serius mahu mendidik rakyatnya dalam membuat pilihan dalam pembelian barangan.

Tugas kerajaan di peringkat persekutuan sudah berjalan lancar melalui KBBM ini.

Semuanya hanyalah semata-mata untuk memberi ‘peluang’ kepada rakyat untuk mengamalkan cara perbelanjaan yang lebih berhemah.

Sekarang ini, matlamat besar kerajaan sudah terletak di bahu kita sebagai pengguna, bagaimana kita memilih.

Jomlah sokongan barangan buatan tempatan. Kurangkan skeptikal, lebihkan rasa percaya, dan yakin bahawa barangan orang kita juga hebat di persada dunia.

Percayalah, kita mampu mengubahnya. Jom beli barangan buatan Malaysia.

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

test