Siakap Keli
ragut stesen minyak
Gambar: Facebook

Warga Emas Disamun Ketika Isi Minyak Motosikal

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) — Seorang wanita warga emas, berusia 70 tahun berdepan detik cemas apabila disamun ketika sedang mengisi minyak motosikal dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Fasa 3, Sungai Buloh di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata dalam kejadian 9 pagi itu, mangsa didatangi seorang lelaki yang menutup mulutnya dari belakang sebelum menarik beg sandang dari bahu kirinya.

Beliau berkata suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal bersama seorang rakan yang sedang menunggu bersebelahan pam minyak berdekatan.

“Beg berkenaan mengandungi kad pengenalan milik mangsa, dua keping Mykid milik cucunya, Kad Peduli Sihat dan wang tunai kira-kira RM200.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua lelaki sedang mengisi minyak bersebelahan motosikal mangsa sebelum kejadian samun itu. Namun, gambar pada CCTV tidak jelas dan kedua-dua suspek memakai topeng muka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shafa’aton berkata mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak.

Kejadian samun itu tular di media sosial menerusi video berdurasi 24 saat.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.