Siakap Keli
Gambar Via Info Roadblock JPJ/POLIS

Polis Buru Lelaki Cuba Samun Guna Senjata Menyerupai Pistol Di Batu Gajah

IPOH, 29 Sept (Bernama) — Polis sedang memburu seorang lelaki disyaki cuba melakukan samun bersenjata terhadap kakitangan van syarikat kawalan keselamatan yang membawa wang di bahagian kaki lima luar sebuah bank di Batu Gajah, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Ahmad Adnan Basri berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, suspek memakai pelitup muka berwarna biru bertindak meluru ke arah dua pekerja syarikat keselamatan yang sedang membawa sejumlah wang masuk ke dalam van sambil mengacu objek menyerupai pistol.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian, juruteknik keselamatan berkenaan sedang membawa wang anggaran sebanyak RM200,000 yang baharu sahaja dikeluarkan daripada mesin deposit wang sambil dikawal seorang pengawal keselamatan sebelum didatangi suspek yang menjerit ‘hoi’.

“Suspek kemudian bertindak memegang pengawal keselamatan yang dilengkapi senjata api itu sambil mengacu pistol berkenaan pada dadanya, dan kemudian meminta juruteknik itu menyerahkan wang sambil mengacukan pistol ke arahnya pula,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Bagaimanapun, beliau berkata juruteknik berkenaan berjaya melarikan diri bersama wang itu ke dalam van yang sedang menunggu mereka di luar bank sebelum suspek menjadi panik lalu meloloskan diri ke arah belakang premis bank terbabit.

Menurutnya, tiada kerugian mahupun kecederaan dialami mangsa dalam kejadian itu dan polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar selain mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.

“Mangsa tidak cam wajah suspek yang berjaket hitam kerana memakai pelitup muka namun ciri-cirinya berambut pendek, berkulit cerah, tinggi lebih kurang lima kaki tujuh inci dan berbadan kurus,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan samun menggunakan senjata.

Rakaman video mengenai kejadian itu mula tular di laman media sosial petang tadi.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story