Sepasang suami isteri dilaporkan membiarkan bayi perempuan mereka kelaparan dan tidak mendapat nutrien yang secukupnya serta membiarkan anak kecil itu diet yang sangat ekstrem sehingga menyebabkannya mengalami kerosakan otak kekal, lapor Mirror.
Mereka yang berasal dari Australia itu memberi formula sendiri kepada bayi tersebut iaitu yang diperbuat daripada air kelapa dan tepung selepas berhenti menyusu pada tahun 2017.
Apabila doktor memberitahu bahawa diet yang diamalkan kepada bayi mereka tidak mempunyai cukup nutrisi, mereka mencari laman web perubatan alternatif di Queensland dan Amerika Syarikat untuk panduan dan tidak menghadiri temu janji di hospital.
Pada Ogos 2018, bayi tersebut akhirnya terpaksa menggunakan mesin sokongan nyawa setelah dia dikejarkan ke University Hospital Geelong. Doktor mendapati dia mengalami pendarahan dalaman, najis berdarah, lebam, luka yang terbuka, ruam dan perubahan warna kulit.
Bayi itu juga mengalami kekurangan zat makanan kalori protein yang dikenali sebagai ‘Kwashiorkor’.
Dietnya yang ketat juga menyebabkannya mengalami Cerebral Palsy iaitu gangguan pergerakan kekal yang menyebabkan koordinasi lemah, gegaran dan kelemahan otot.
Pasangan suami isteri itu mengakui kecuaian yang dilakukan oleh mereka sehingga menyebabkan kecederaan yang serius.
Mereka telah diperintahkan untuk menjalani perintah pembetulan komuniti selama 12 bulan dan menjalani rawatan kesihatan mental.
Sumber: Mirror